Kelab Food Truck Malaysia (MFT) meminta perbincangan dilaksanakan antara Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) dan pemilik food truck berhubung garis panduan ketat yang sedang dikuatkuasakan.
Presidennya Safirurizalman Firdaus berkata, selaku kelab, MFT sentiasa memastikan tahap keselamatan food truck yang berdaftar dengan mereka berada pada tahap terbaik sebelum menyertai sebarang karnival.
"Dalam setiap karnival atau program memerlukan food truck daripada MFT, kami akan menyemak kelayakan mereka dengan teliti. Contohnya ketika Sukan Sea 2017 lalu, setiap food truck ini akan diperiksa dengan kerjasama Kementerian Kesihatan sebelum dibenarkan masuk tapak jualan.
"Memang ciri keselamatan selain kebersihan di dalam food truck menjadi keutamaan kami terhadap hampir 250 ahli berdaftar di bawah kelab ini," katanya.
Justeru, kata Safirurizalman, jika ada cadangan pihak berkuasa mahu mengetatkan peraturan, MFT terbuka namun menegaskan perbincangan terlebih dahulu perlu diadakan bersama pemilik food truck.
Jelasnya, ia perlu dalam usaha memastikan peraturan tersebut dapat diaplikasi dengan baik selain melihat sekiranya ada halangan yang tidak dapat dibuat oleh pemilik food truck.
"Contohnya seperti tujuh aspek ditekankan bomba sebelum lesen dapat diberikan kepada peniaga food truck, di pihak MFT kami nak tahu perincian semua aspek itu.
"Sudah tentu kita akan beri kerjasama penuh sekiranya apa yang dilakukan itu akan memberikan manfaat kepada pemilik food truck," katanya.
ARTIKEL BERKAITAN: Pengusaha food truck abai keselamatan pengguna?