Tutup premis, lokasi tumpuan pelancong jika tidak patuh SOP

Iklan
Batu Feringghi antara kawasan pantai yang sentiasa dipantau. Gambar kecil: Mohd Shuhaily

GEORGETOWN - Polis tidak akan teragak-agak untuk menutup kawasan tumpuan pelancong dan premis yang tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan di negeri ini.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, orang ramai juga dinasihatkan supaya merancang tempat pelancongan supaya tidak mengunjungi negeri yang mempunyai jangkitan yang tinggi.

Iklan
Iklan

Menurutnya, polis akan terus memantau di lokasi tumpuan bagi memastikan semua pihak mematuhi SOP berikutan Pulau Pinang masih di Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara (PPN)

"Kita kena ingat, Pulau Pinang memasuki Fasa 2 PPN sejak 7 Julai lalu. Sebelum ini, saya amat berpuas hati apabila mendapati rakyat di negeri ini mematuhi SOP.

Iklan

"Bagaimanapun, sejak hujung minggu lalu, saya mendapati ramai yang telah keluar ke beberapa lokasi tumpuan antaranya pantai dan empangan bagi tujuan beriadah.

"Setakat ini, belum ada sebarang tindakan diambil terhadap mereka yang telah ke lokasi tersebut. Kita hanya memantau sahaja, namun jika terlalu ramai dan tidak patuhi SOP, kita tidak teragak-agak untuk menutup lokasi riadah tersebut," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang di sini pada Selasa.

Iklan

Mohd Shuhaily berkata, kawasan pantai antaranya Batu Feringghi antara kawasan yang sentiasa dipantau.

"Kita akan terus pantau kawasan pantai terutamanya pada hujung minggu. Tindakan awal yang akan diambil adalah menasihati pengunjung. Jika terlalu ramai, perlu beredar.

"Jika mereka masih berdegil dan mengerumuni kawasan itu (pantai), maka saya terpaksa memohon kerajaan tempatan untuk menutupnya demi kebaikan," katanya.

Katanya, selain lokasi tumpuan pelancongan, polis juga akan mengambil tindakan terhadap premis yang tidak mematuhi SOP.

"Saya mohon rakyat Pulau Pinang untuk terus berdisiplin seperti sebelum ini. Jangan terikut dengan pengumuman di negeri lain. Pulau Pinang belum keluar daripada ancaman Covid-19. Kita masih mencatatkan empat digit kes positif setiap hari.

"Kita masih di dalam Fasa 2 PPN dan masih ada peraturan dan pematuhan yang harus dipatuhi dalam aktiviti. Kita terpaksa menguatkuasakan undang-undang seperti yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN)," katanya.