Hanya pengunjung lengkap vaksin dibenarkan masuk: GM Klang

Iklan
Pusat Borong GM Klang hanya membenarkan pengunjung yang sudah lengkap divaksin serta tidak bergejala untuk masuk ke dalam kompleksnya bermula Khamis, 16 September 2021.

SHAH ALAM - Pusat Borong GM Klang hanya membenarkan pengunjung yang sudah lengkap divaksin serta tidak bergejala untuk masuk ke dalam kompleksnya bermula Khamis, 16 September 2021.

Pengurus Komunikasi Korporat dan Perhubungan Awam GM Klang, Norsuhaida Othman berkata, pengunjung perlu menunjukkan sijil digital vaksinasi mereka atau kad fizikal vaksinasi di pintu masuk untuk pemeriksaan selain mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang lain seperti memakai pelitup muka, sanitasi tangan dan penjarakan fizikal.

Iklan
Iklan

Menurutnya, pelaksanaan itu adalah wajar dalam usaha mengekang penularan wabak Covid-19 di dalam kompleks tersebut yang merupakan tempat tertutup.

"Tindakan ini juga memberikan keyakinan kepada orang awam yang berkunjung ke GM Klang dalam keadaan selesa dan selamat ketika melakukan aktiviti perniagaan dan membeli-belah.

Iklan

"Kami menjangkakan pengunjung bertambah apabila peratusan komuniti yang lengkap vaksinasi sudah meningkat kerana mereka perlu keluar untuk mendapatkan barangan keperluan dan menenangkan fikiran yang mungkin telah penat setelah beberapa bulan menghabiskan masa hanya di rumah sendiri,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Norsuhaida berkata, GM Klang turut meningkatkan keselamatan kompleks dengan kerja-kerja sanitasi yang lebih kerap terutama di kawasan-kawasan yang menjadi tumpuan.

Iklan

"Sejajar dengan peralihan Fasa Dua Pelan Pemulihan Negara (PPN) di Selangor pada 10 September lalu, banyak kedai yang dibuka di GM Klang apabila pelbagai kategori perniagaan yang telah dibenarkan beroperasi kembali, mengikut SOP Majlis Keselamatan Negara (MKN).

"Ini membolehkan GM Klang dapat beroperasi sepenuhnya,” katanya.