400,000 pelancong dijangka ke Langkawi sehingga Disember

Iklan
LADA menganggarkan kemasukan 2,000 pelancong sehari ke Langkawi bagi memeriahkan sektor pelancongan di kepulauan terbabit. (Gambar kecil: Nasaruddin)

LANGKAWI - Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) menjangkakan kedatangan pelancong ke pulau berkenaan mencecah 400,000 orang bagi tempoh bermula Khamis ini sehingga Disember depan.

Ketua Pegawai Eksekutif LADA, Nasaruddin Abdul Muttalib berkata, pihaknya menganggarkan jumlah perbelanjaan pelancong dalam tempoh itu adalah sebanyak RM165 juta.

Iklan
Iklan

Menurutnya, berdasarkan kajian yang dijalankan bersama Universiti Sains Malaysia (USM), purata perbelanjaan setiap pengunjung adalah kira-kira RM412 sehari.

"Setiap kali pengunjung datang ke sini, memang itu purata perbelanjaan mereka, ia termasuk kos penginapan, pengangkutan, makan dan tiket masuk ke tempat pelancongan," katanya pada sidang akhbar di Pejabat LADA pada Selasa.

Iklan

Mengulas lanjut, beliau berkata, bagi permulaan gelembung pelancongan Langkawi, pihaknya menganggarkan 30,000 individu akan berkunjung ke pulau terbabit melalui jalan darat dan udara bagi tempoh dua minggu terakhir bulan ini.

Jelasnya, ia adalah pengiraan secara purata dengan kedatangan 2,000 orang pelancong sehari bagi memeriahkan sektor pelancongan di kepulauan terbabit.

Iklan

"Jumlah itu adalah angka sederhana yang disasarkan setelah kerajaan melaksanakan projek rintis ini. Kita tidak mahu terlalu ghairah meletakkan sasaran yang tinggi sehingga di luar kawalan agensi-agensi terlibat.

"Apa yang penting, kita dapat mengawal kehadiran pengunjung dengan baik dan tidak mahu berlaku kesesakan di terminal Kuala Perlis, Kuala Kedah dan di Langkawi," ujarnya.

Dalam pada itu, Nasaruddin berkata, jumlah penerbangan masuk dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan Lapangan Terbang Subang pada hari pertama pembukaan Langkawi adalah sebanyak lima penerbangan selain tiga perjalanan masuk feri dari Terminal Feri Kuala Perlis.

"Kekerapan perjalanan itu juga difahamkan akan meningkat berdasarkan fasa kemasukan pelancong secara berperingkat serta pembukaan semula Terminal Feri Kuala Kedah sebaik sahaja tamat tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat bagi Mukim Kuala Kedah," katanya.