Permulaan ke arah demokrasi musyawarah

Iklan
Kerajaan Persekutuan dan Pakatan Harapan (PH) Isnin lalu melakar sejarah apabila julung-julung kali memeterai memorandum persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik. - Foto Bernama

KERAJAAN Persekutuan dan Pakatan Harapan (PH) Isnin lalu melakar sejarah apabila julung-julung kali memeterai memorandum persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik.

Memorandum itu bertujuan mengembalikan kestabilan politik demi menangani wabak Covid-19 dan memulihkan ekonomi negara melalui pendekatan kerjasama secara dwipartisan, selaras titah Yang di-Pertuan Agong.

Iklan
Iklan

Enam teras persefahaman itu pemerkasaan pelan Covid-19; transformasi pentadbiran; pembaharuan Parlimen; kebebasan institusi kehakiman; Perjanjian Malaysia 1963; dan pembentukan jawatankuasa pemandu.

MoU itu bukan sahaja mewujudkan keyakinan dalam kalangan pelabur asing, malah rakyat terhadap kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sekurang-kurangnya sehingga Pilihan Raya Umum ke-15.

Iklan

Walaupun sesetengah pihak melihatnya lebih sebagai usaha merintis kerjasama baharu antara Barisan Nasional dan PH memandangkan ia tidak melibatkan kesemua parti politik tanah air, namun kepimpinan Ismail Sabri layak dipuji.

Hakikatnya, sukar untuk mana-mana kerajaan membuka ruang dan menghulurkan salam perdamaian politik di Malaysia.

Iklan

Pembangkang pula bersifat terbuka dan sanggup membantu kerajaan merealisasikan pelbagai usaha melawan pandemik dan memulihkan ekonomi negara ketika penggal Parlimen ke-14 hanya berbaki satu tahun enam bulan lagi.

Namun begitu, MoU itu bukan bermaksud PH menyertai kerajaan. Malah, MoU itu tidak sepatutnya mengikat pembangkang daripada mengkritik serta melaksanakan mekanisme semak dan imbang terhadap pentadbiran Perdana Menteri.

Harus diingat, MoU itu juga adalah hasil desakan rakyat yang mahu ahli politik berhenti bercakaran sehingga menyaksikan negara bertukar tiga perdana menteri dalam tempoh tiga tahun. Justeru, MoU itu bolehlah dianggap sebagai kemenangan rakyat.

Masih terlalu awal untuk menilai sejauh mana keberkesanan MoU itu, namun ia memberi harapan bahawa kerajaan dan pembangkang dapat bekerjasama mengamalkan demokrasi musyawarah.

Dalam politik Malaysia di mana ahli-ahli politik sering berubah pendirian, maka rakyatlah yang lebih layak mengadili MoU itu dalam PRU nanti.