Pantai Ban Pecah kembali meriah, sesak hujung minggu

Iklan
Keadaan Pantai Ban Pecah, Tanjung Piandang yang kembali meriah dengan kehadiran pengunjung berikutan kelonggaran diberikan kerajaan dalam aktiviti riadah. (Gambar ekcil: Abdul Yunus)

PARIT BUNTAR - Pantai Ban Pecah di Tanjung Piandang yang sebelum ini sepi berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kembali meriah dan diserbu orang ramai.

Kelonggaran diberikan kerajaan bagi tujuan berkelah dan perkhemahan membuatkan orang ramai tidak melepaskan peluang berkunjung ke pantai berkenaan bersama keluarga.

Iklan
Iklan

Tinjauan Sinar Harian pada Sabtu dan Ahad mendapati, laluan di sepanjang persisiran pantai itu sesak dengan kehadiran orang ramai dan puluhan kenderaan.

Aktiviti mandi, memancing, jualan makanan serta tidak kurang yang duduk santai di sepanjang kawasan bongkah batu untuk melihat pemandangan menjadikan kawasan itu seperti pesta.

Iklan

Paling mencuri tumpuan ialah riak gembira dan keseronokan kanak-kanak yang dapat bermain pasir pantai serta mandi-manda.

Pengunjung, Zainal Wahab, 30 mengakui mengambil peluang kelonggaran aktiviti riadah yang diberikan memandangkan sudah lama tidak melakukan aktiviti bersama keluarga.

Iklan

Dia yang tinggal di Kampung Tok Ngah, Kuala Kurau berkata, walaupun pantai itu kembali meriah dengan kehadiran orang ramai, namun dia tetap menitik beratkan pematuhan prosedur operasi standard (SOP).

"Anaklah paling teruja apabila diajak ke pantai sebab dah lama terperap di rumah.

"Bagi saya tiada masalah beriadah di kawasan pantai kerana lebih terbuka berbanding tempat lain, jadi agak selamat untuk bawa anak kecil asalkan semuanya patuhi SOP," katanya yang datang bersama isteri dan anak perempuan berusia 4 tahun.

Peniaga gerai mainan, Suhaimi Shariff, 57 berkata, kehadiran ramai pengunjung adalah di luar jangkaan hingga mendorongnya mendapatkan stok peralatan yang baharu antaranya pelampung, belon, layang-layang dan permainan pasir yang sering menjadi pilihan kanak-kanak.

"Saya peruntukan hampir RM2,000 untuk beli barang-barang baru dan baik pulih gerai, Alhamdulillah dalam tempoh seminggu ini memang ramai ibu bapa datang bawa anak-anak ke sini.

Zainal (kiri) melihat peralatan mainan pantai yang dijual di gerai Suhaimi ketika mengunjungi Pantai Ban Pecah, Tanjung Piandang di sini.

"Sedikit sebanyak dapatlah bantu perniagaan kami yang dah hampir 7 bulan ditutup," katanya.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Kurau, Datuk Abdul Yunus Jamahri berkata, peningkatan ketara jumlah pengunjung ke kawasan riadah itu dapat dilihat pada hujung minggu dan musim cuti persekolahan ini.

Katanya, keadaan itu menyebabkan jalan utama di Batu 11, Tanjung Piandang dan beberapa laluan kampung sesak dengan puluhan kenderaan yang masuk bersilih ganti.

"Sekiranya ada keperluan saya kira kita boleh tempatkan penguat kuasa di kawasan itu untuk memantau kehadiran dan pematuhan SOP dalam kalangan pengunjung.

"Dalam Mesyuarat Jawatankuasa Tindakan Pembangunan Daerah baru-baru ini juga, saya ada cadangkan agar diadakan satu lagi jalan masuk dari Parit 30, Batu 14 Kuala Kurau agar kesesakan dapat dikurangkan.

"Langkah ini boleh diambil bagi menjamin keselamatan pengunjung memandangkan jangkaan kita bahawa pantai ini akan terus menjadi lokasi tumpuan riadah bersama keluarga terutama apabila kebenaran rentas negeri dibenarkan kelak," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kerian, Superintendan Mazuki Mat berkata, sebarang aktiviti riadah di pantai itu adalah dibenarkan, namun orang awam dinasihatkan sentiasa mematuhi SOP yang ditetapkan.

Menurutnya, pemantauan terhadap pematuhan SOP akan dilakukan setiap hari di kawasan itu terutama pada hujung minggu dan setakat ini keadaan masih lagi terkawal.

"Polis akan terus memantau kunjungan orang ramai ke pantai berkenaan. Oleh itu orang ramai mesti utamakan keselamatan dan mematuhi SOP ditetapkan bagi mengelak dikenakan tindakan," katanya.

Pantai Ban Pecah yang panjang keseluruhan kira-kira 17 kilometer ini menjadi antara lokasi sering dikunjungi pelancong dari dalam negeri berhampiran antaranya Kedah, Pulau Pinang, Perlis.

Malah ada juga pelancong dari Kuala Lumpur yang datang ke sini untuk memancing ikan sembilang merah yang hanya terdapat di daerah Kerian sahaja.

Kawasan yang berkedudukan 16 kilometer dari bandar Parit Buntar ini bukan sahaja menjadi lokasi bagi pemancing dan tempat riadah bagi keluarga, terdapat juga pengunjung datang untuk melihat suasana matahari terbenam ketika senja yang melintasi laut Selat Melaka.