KEJOHANAN Todak League anjuran gergasi e-sukan tempatan, Todak Culture Sdn Bhd (Todak) kini kembali bagi menyaksikan pemain-pemain pasukan dua permainan e-sukan popular negara iaitu PlayerUnknown’s Battlegrounds (PUBG) Mobile dan Mobile Legends: Bang Bang (MLBB) berentap pada musim kedua.
Pengarah Urusannya, Syed Shazni Syed Husin Affandi berkata, kejohanan yang bakal berlangsung pada 4 Oktober hingga 17 Disember ini bertujuan untuk melahirkan pemain e-sukan (gamer) yang bertaraf profesional.
Syed Shazni, 39, berharap acara tersebut dapat diperkenalkan kepada masyarakat dan menarik minat mereka terhadap dunia e-sukan serta komuniti permainan e-sukan.
"Todak League adalah satu platform untuk bertanding secara sihat, kali ini liga PUBG dibahagikan pada tiga kategori iaitu bawah 18, wanita dan terbuka kepada semua pemain seluruh Malaysia, manakala bagi MLBB dibuka untuk kategori terbuka sahaja.
"Bagi kategori bawah 18 akan berlangsung pada 4 hingga 23 Oktober, kategori wanita pada 25 hingga 28 Oktober dan terbuka akan bermula dari 1 November hingga 17 Disember.
"Kami menyasarkan sebanyak 4,000 pasukan akan sertai kejohanan ini bagi ketiga-tiga kategori. Bagaimanapun, untuk membuka lebih banyak ruang dan peluang bagi pemain baru di luar sana menonjolkan bakat, penganjur tidak akan menghadkan jumlah penyertaan pasukan,” katanya kepada Sinar Harian pada Sabtu.
Tidak hanya tertumpu kepada kelompok ‘gamer’, menariknya penganjuran Todak League musim terbaharu ini turut menawarkan beberapa pertandingan kepada orang awam yang bukan daripada golongan tersebut.
"Kami mahu memberikan pendedahan dunia permainan dalam talian ini kepada umum supaya mereka menerima e-sukan sebagai satu aktiviti atau budaya yang sihat.
"Antara pertandingan lain yang ditawarkan termasuklah menghasilkan slogan, poster dan video pengenalan Todak League.
"Pertandingan tersebut diadakan bagi menarik lebih ramai penulis (copywriter), pereka grafik, jurugambar dan juruvideo untuk menyertai kejohanan ini serta mengenali komuniti e-sukan,” ujarnya.
Bapa kepada empat orang cahaya mata itu menambah, satu sesi bootcamp akan diadakan untuk individu atau pasukan yang berumur 18 tahun ke bawah dilatih bermain permainan video bersama pemain profesional.
Beliau berkata, beberapa sesi bootcamp juga dianjurkan bagi mempercepatkan proses pencarian bakat baharu yang berpotensi tinggi bagi melahirkan lebih ramai pemain profesional.
"Dalam kem ini, pemain profesional akan mengajar mereka bermain selama dua hari, pada masa sama kami juga menyediakan sesi scrim iaitu platform untuk mereka berlatih.
"Penyertaan bootcamp terhad kepada 16 pasukan sahaja dan mereka akan diberi pendedahan secara langsung selain berlatih secara intensif. Peserta bootcamp juga akan diberikan sijil setelah tamat latihan.
"Berita baik kepada mereka yang berminat untuk menyertai Todak League, pendaftaran adalah percuma dan kita bakal menyaksikan semua pasukan bertanding bagi merebut hadiah terkumpul berjumlah RM33,000.
"Kami juga terbuka untuk berkolaborasi dengan jenama lain bagi memeriahkan lagi Todak League musim kedua ini,” jelas Syed Shazni.
Mereka yang berminat boleh mendaftar segera di admin@todak.com