PENGENDALI Manchester United, Ole Gunnar Solskjaer mengakui kesilapan para pemainnya menyaksikan pasukan tersebut dihukum dengan kekalahan memalukan 1-2 kepada Young Boys dalam aksi Liga Juara-Juara pada awal pagi Rabu.
Menurutnya, The Red Devils kehilangan konsentrasi, melakukan kesilapan sekali gus memberikan ruang kepada lawan untuk menghukum mereka.
"Secara amnya, disiplin adalah penting dalam bola sepak, bukan hanya Liga Juara-Juara.
"Kurang fokus, anda buat kesilapan dan anda akan dihukum. Kami melakukannya tahun lalu, melepaskan dua gol menerusi serangan balas ketika menentang Basaksehir dan tewas perlawanan itu.
"Jadi, kami tahu kami membuatkan tugas kami lebih sukar. Tahun lalu semua orang beranggapan kami akan mara selepas mengharungi dua perlawanan.
"Anda perlu 10 atau 12 mata, menang dalam perlawanan di tempat sendiri dan satu di tempat lawan. Kami terlepas peluang meraih tiga mata, tetapi kami ada dua perlawanan di tempat sendiri dan perlu fokus dua perlawanan itu," katanya.
Dalam aksi di Stade de Suisse itu, penyerang sensasi United, Cristiano Ronaldo terlebih dahulu meletakkan pasukan di hadapan pada minit ke-13 sebelum pemain pertahanan, Aaron Wan-Bissaka dilayangkan kad merah pada minit ke-35.
Ia sekali gus mengubah rentak permainan The Red Devils dengan The Young Boys menggunakan peluang itu untuk meledak dua gol menerusi Moumi Ngamaleu pada minit ke-66 sebelum pemain gantian Theoson Siebatcheu mengesahkan kemenangan pada minit ke-95.
Dalam pada itu, Solskjaer turut mengakui United seharusnya diberikan penalti selepas Ronaldo dijatuhkan dalam kotak penalti oleh pertahanan lawan pada minit ke-53.
"Pemain lawan menolaknya dengan lengan ketika dia sedang berdepan satu lawan satu dengan penjaga gol. Tetapi pengadil tidak memberikannya malah pemain tersebut tidak dibuang padang.
"Dalam situasi tertentu anda perlu menerima keputusan tersebut apatah lagi pengadil tersebut adalah pengadil muda," katanya.