KUALA LUMPUR - Kerajaan mengumumkan dua pakej langganan baharu iaitu Pakej Remaja Keluarga Malaysia dan Pakej Peranti Keluarga Malaysia bagi membantu remaja dan pelajar universiti mendapatkan akses internet.
Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa berkata, pakej baharu itu akan bermula pada 15 Oktober ini melibatkan semua syarikat telekomunikasi negara.
Beliau berkata, di bawah Pakej Remaja Keluarga Malaysia ia akan melibatkan kesemua remaja di bawah 21 tahun dan pelajar universiti termasuk mereka yang meneruskan pascasiswazah.
"Dengan hanya RM10 sebulan untuk tiga bulan, mereka akan mendapat data 20GB sepanjang tempoh tersebut.
"Selain itu, turut diberikan data percuma 1GB setiap hari untuk aktiviti produktiviti serta internet asas tanpa had. Dengan pakej ini, pengguna boleh melakukan aktiviti seperti penghantaran mesej dan melayari internet.
"Bagi data produktiviti, pembelajaran dalam talian serta aktiviti bekerja dari rumah boleh dilakukan tanpa kekangan data,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sidang akhbar pengenalan pakej tersebut di Wisma Radio, Radio Televisyen Malaysia (RTM), Angkasapuri di sini pada Rabu.
Annuar berkata, pengguna hanya perlu mendaftar dengan MyKad, sementara pelajar melebihi 21 tahun perlu mendaftar dengan menggunakan kad pelajar.
Beliau berkata, bagi Pakej Peranti Keluarga Malaysia pula ia akan membolehkan rakyat Malaysia memiliki atau menaik taraf kepada peranti mudah alih dan VoLTE secara percuma.
Katanya, peranti tersebut dapat dimiliki dengan langganan serendah RM40 sebulan melalui kontrak selama 12 hingga 24 bulan tertakluk kepada jenis peranti dan perkhidmatan yang dilanggan.
"Pakej ini termasuk 1GB data percuma untuk aktiviti produktiviti. Setiap pengguna yang layak boleh melanggan sehingga dua pakej dengan mendaftar kad pengenalan yang sama.
"Diharap lebih ramai ahli keluarga mendapat manfaat sempurna daripada pemilikan peranti mudah alih 4G dan VoLTE ini untuk melengkapkan pengalaman internet mereka.
"Tempoh mendaftar untuk kedua-dua pakej tersebut adalah mulai 15 Oktober hingga 15 April 2022 selama enam bulan,” katanya.