Ayam naik harga: KPDNHEP Negeri Sembilan keluar 24 notis

Iklan
Ain Arjuna (kanan) menunjukkan Aplikasi Price Catcher.

KUALA PILAH - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Negeri Sembilan mengeluarkan 24 notis kepada pengeluar, penternak, pemborong dan peruncit di negeri ini melalui Ops Catut 8.0 susulan berlakunya kenaikan harga ayam di pasaran.

Pengarah KPDNHEP Negeri Sembilan, Ain Arjuna Aziz Zaman berkata, notis mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011 yang dikeluarkan sejak 8 September lepas hingga kini bertujuan mendapatkan maklumat harga jualan, kos dan peratus margin harga ayam berkenaan bagi tempoh tertentu pada tahun lalu dan tahun ini.

Iklan
Iklan

"Hasil analisis awal daripada Ops Catut 8.0 ini mendapati kenaikan harga jualan ayam bersih standard adalah dipengaruhi oleh faktor peningkatan kos bagi dedak ayam di peringkat pengeluar.

"Siasatan dan analisis harga akan terus dijalankan oleh kami bagi setiap notis di bawah Seksyen 21 AKHAP 2011 ini dan tindakan tegas akan diambil sekiranya mendapati ada peniaga yang menaikan harga ayam di mana-mana peringkat rantaian pengedaran sewenang-wenangnya," katanya.

Iklan

Beliau berkata demikian ketika sidang akhbar selepas selesai operasi pemantauan di peringkat rantaian pembekal ayam Ops Catut 8.0 di Pasar Awam Kuala Pilah pada Rabu.

Dalam pada itu, beliau berkata, berdasarkan hasil pemeriksaan yang dilakukan, pihaknya mendapati kenaikan harga jualan harga ayam standard melebihi RM9 sekilogram mula berlaku pada minggu kelima bulan Ogos lepas.

Iklan

"Harga tertinggi yang direkodkan pada tempoh tersebut adalah di Pasar Besar Tampin dan Pasar Awam Johol dengan harga jualan RM9.50 sekilogram, manakala tujuh pasar awam lain mencatatkan harga jualan pada harga RM9 hingga RM9.20 sekilogram.

"Sehingga Isnin lepas, harga jualan ayam bersih standard di pasar-pasar awam di negeri ini telah mencatatkan harga tertinggi iaitu RM10.50 sekilogram di Pasar Seremban dan Pasar Ampangan malah kenaikan harga ayam turut direkodkan di pasar raya besar dan pasar raya dan harga ayam tertinggi direkodkan di sebuah pasar raya di Bahau dengan harga jualan RM9.50 sekilogram," katanya.

Tambah beliau, untuk mengelakkan daripada berlaku kenaikan harga secara berterusan, KPDNHEP Negeri Sembilan telah menjalankan pemeriksaan di peringkat rantaian pembekalan ayam di bawah Ops Catut 8.0 yang melibatkan pengeluar, pengilang, pemborong dan peruncit ayam di bawah AKHAP 2011 bermula 8 September lepas hingga 22 September ini.

"Pengguna disarankan menggunakan aplikasi 'price catcher' bagi membuat perbandingan harga barang keperluan termasuk ayam yang dijual selain boleh menyalurkan aduan berkaitan kenaikan harga melalui Portal e-aduan.kpdnhep (https://eaduan.kpdnhep.gov.my dan melalui WhatsApp di talian 019-2794317," katanya.