UUM sedia terima pelajar Oktober depan

Iklan
Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Profesor Dr Haim Hilman Abdullah

SINTOK - Universiti Utara Malaysia (UUM) bersedia menerima kemasukan pelajar bagi sesi akademik 2021/2022 secara fizikal dari semua negeri tanpa mengira fasa Pelan Pemulihan Negara (PPN) secara berperingkat bermula 15 Oktober depan.

Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) yang menjalankan fungsi Naib Canselor, Profesor Dr Haim Hilman Abdullah berkata, pihaknya telah menyiapkan garis panduan lengkap kemasukan pelajar.

Iklan
Iklan

Beliau berkata, kemasukan pelajar secara berperingkat itu membabitkan semua jabatan berkaitan di kampus termasuklah Jabatan Hal Ehwal Pelajar, Jabatan Hal Ehwal Akademik, Jabatan Pembangunan dan Penyenggaraan, Jabatan Keselamatan dan UUMIT.

"Proses kemasukan pelajar akan menggunakan prosedur operasi standard (SOP) Sektor Pendidikan Tinggi: Pengoperasian IPT, yang mana SOP ketat akan dilaksanakan bagi menguruskan pergerakan keluar dan masuk pelajar tempatan mahupun pelajar antarabangsa.

Iklan

"Setakat Selasa lalu, kira-kira 3000 pelajar lama telah mendaftar untuk kembali ke kampus dan 5,200 pelajar baharu menerima surat tawaran kemasukan ke UUM, namun tarikh pengesahan untuk kembali ke kampus masih dibuka sehingga hujung September ini," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Menurutnya, pelajar perlu memenuhi syarat lengkap vaksin dan melepasi tempoh keberkesanan selepas divaksin bagi melancarkan proses kemasukan pelajar secara fizikal.

Iklan

Tambah beliau, pelajar yang belum menerima vaksin disarankan menghubungi Badan Bertindak Covid-19 (CITF) untuk mendapatkan vaksinasi secara ‘walk-in’ di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) berdekatan.

"UUM telah membuat perancangan teliti dengan mengenal pasti pelajar, menentukan jadual pergerakan dan memastikan warga universiti melalui proses kesihatan yang ketat seperti yang disarankan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT)," katanya.

Haim Hilman berkata, perlaksanaan kemasukan pelajar secara berperingkat itu adalah bagi memastikan kelestarian kualiti pendidikan tinggi negara serta meletakkan keselamatan dan kebajikan pelajar sebagai keutamaan seperti mana diluluskan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Katanya, perhatian termasuk kebajikan juga diberikan kepada pelajar tidak kembali ke kampus sepanjang berada di rumah masing-masing, malah mereka boleh menghubungi pihak universiti untuk mendapatkan sebarang bantuan atau maklumat sepanjang pengajian.

"UUM turut berterima kasih kepada Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad atas keprihatinan terhadap bebanan keluarga dan pelajar dengan mengurangkan yuran sebanyak 20 peratus kepada semua pelajar tempatan bagi Semester 1 Sesi 2021/2022," katanya.

Dalam pada itu, Dr Haim Hilman menyifatkan pengumuman itu adalah satu berita gembira kepada pelajar dan universiti juga menyambut baik inisiatif tersebut dalam memastikan sesi pengajaran dan pembelajaran berjalan lancar selaras dengan hasrat KPT.