Tujuh warga asing didenda guna kad pengenalan palsu

Iklan
Tertuduh ketika tiba di Mahkamah Majistret Shah Alam pada Rabu - FOTO SINAR HARIAN/ROSLI TALIB

SHAH ALAM - Seramai tujuh warga Filipina dan Indonesia didenda antara RM3,000 hingga RM6,000 oleh Mahkamah Majistret di sini pada Rabu atas kesalahan menggunakan salinan kad pengenalan palsu dan milik individu lain untuk bekerja di sebuah kilang tekstil.

Ketujuh-tujuh tertuduh termasuk seorang lelaki, dikenakan hukuman itu selepas mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibacakan di hadapan Majistret Mohamad Redza Azhar Rezali.

Iklan
Iklan

Warga Filipina, Ridhwan Likung, 26, Nurmina Kipli, 45, Nola Najuk, 45, didenda masing-masing RM4,000 manakala Masriyah Ismail, 40, sebanyak RM6,000.

Sementara warga Indonesia, Sundari Mahmudi, 29 didenda RM3,000 manakala Mulyani, 47, Salina Husin, 48, masing-masing RM4,000.

Iklan

Setiap tertuduh juga diperintahkan untuk menjalani hukuman penjara enam bulan sekiranya gagal membayar denda tersebut.

Tujuh warga Filipina dan Indonesia didenda antara RM3,000 hingga RM6,000 di Mahkamah Majistret Shah Alam pada Rabu, atas kesalahan menggunakan salinan kad pengenalan palsu untuk bekerja. - FOTO SINAR HARIAN/ROSLI TALIB

Iklan

Mengikut pertuduhan, kesemua tertuduh didakwa menggunakan salinan kad pengenalan palsu dan atas nama individu lain sebagai dokumen pengenalan diri untuk bekerja.

Kesalahan didakwa dilakukan di sebuah kilang tekstil di Taman Perindustrian Hicom di sini pada jam 2 petang, 14 September lalu.

Atas pertuduhan itu, mereka didakwa mengikut Peraturan 25(1)(e) Peraturan-peraturan Pendaftaran Negara 1990 yang membawa hukuman penjara tiga tahun atau denda tidak lebih RM20,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Semasa prosiding, Pegawai Pendakwa Zulkarnain Ahmad mencadangkan kesemua tertuduh dikenakan hukuman setimpal sebagai pengajaran.

Bagaimanapun mereka yang tidak diwakili peguam, merayu agar dikenakan hukuman ringan atas alasan tidak berkemampuan.