MoU uji proses semak dan imbang

Iklan
Wacana bertajuk Parlimen: Cabaran Kerjasama Dwi-Partisan dikendalikan moderator, Ismail Adnan dan panelis iaitu Ketua Pembangkang DUN Perak, Dr Abdul Aziz Bari serta penganalisis politik, Dr Syed Agil Alsagoff dan Prof Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani.

SHAH ALAM - Pendekatan yang diambil dalam merealisasikan Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik akan menjadi satu strategi yang menguji sama ada prosedur semak dan imbang antara kerajaan dengan pembangkang dalam urusan-urusan berkaitan pentadbiran serta yang dipersetujui bersama dapat direalisasikan.

Penganalisis politik, Dr Syed Agil Alsagoff berkata, konsep opsyenal iaitu kerjasama antara kedua-dua pihak adalah satu strategi yang akan dapat memberikan kesan positif kepada kerajaan dan pembangkang.

Iklan
Iklan

Menurutnya, ia membolehkan mereka berbincang pelbagai perkara membabitkan kepentingan rakyat dan negara misalnya berkait perolehan, belanjawan serta peruntukan untuk perbelanjaan pengurusan Covid-19.

"Ini bermaksud, mereka akan mencapai satu persetujuan atas semua bentuk perbelanjaan, semua bentuk peruntukan yang dibawa ke Parlimen, begitu juga dengan jawatankuasa-jawatankuasa yang akan diwujudkan.

Iklan

"Kalau kita tengok jawatankuasa itu nanti, ia memberikan satu keseimbangan dari segi keanggotaan antara kerajaan dengan pembangkang.

"Jadi, sekiranya kita dapat merealisasikan MoU yang dimaksudkan, ini lebih baik daripada kerajaan perpaduan yang saya fikir kalau kerajaan Persekutuan pun dia akan berorientasikan kepada kepentingan parti. Ia akan memberikan satu kesan positif dari segi wajah politik negara kita sendiri.

Iklan

"Ibarat yang menang tidak menang semua, yang kalah tidak kalah sepenuhnya. Jadi ini juga menggambarkan bahawa elok jua keadaan seperti ini kerana ia menggambarkan satu demokrasi yang sihat,” katanya dalam Wacana Sinar Harian secara maya pada Selasa malam.

Wacana bertajuk Parlimen: Cabaran Kerjasama Dwi-Partisan itu dikendalikan moderator, Ismail Adnan dan turut menampilkan dua lagi panelis iaitu Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, Dr Abdul Aziz Bari dan penganalisis politik, Prof Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani.

Jelasnya, keadaan itu menunjukkan bahawa negara juga sudah ada satu pilihan, bagaimana untuk membuatkan satu bentuk jalinan kerjasama sekiranya mana-mana parti pun yang akan menang, mereka akan bekerjasama dengan pihak pembangkang untuk menentukan serta merealisasikan prosedur semak dan seimbang itu.

"Bagi saya, apa yang paling penting sekali ialah kita harus mewujudkan satu politik matang yang akan menjadi indikator kepada keyakinan dan kepercayaan rakyat terhadap sistem Parlimen itu, sistem Perlembagaan kita sendiri.

"Ini adalah satu kesempatan yang kita boleh ambil kira untuk dilaksanakan dan direalisasikan antara kerajaan dan pembangkang bagi menentukan bahawa mereka akan menghasilkan satu bentuk politik matang,” ujar beliau.