PASARAN utama kereta terbang yang akan dibangunkan di negara ini adalah syarikat perkhidmatan pengangkutan atau pemain sektor pengangkutan lain, kata Menteri Pembangunan Usahawan, Redzuan Md Yusof.
Beliau berkata, pihaknya menerima banyak maklum balas positif, terutamanya dari syarikat antarabangsa, termasuk membabitkan aspek pembangunan prototaip dan pelan tindakan.
"Setakat ini, banyak pihak menunjukkan minat terhadap pembangunan kereta terbang ini, termasuk Grab yang bercadang menggunakannya sebagai perkhidmatan teksi,” katanya selepas menyempurnakan Karnival Keusahawanan Durian Tunggal 2019 baru-baru ini.
Justeru katanya, pasaran jualan komersial kepada orang ramai bukanlah sasaran pasaran kereta itu seperti tanggapan ramai ketika ini. Beliau mengulas relevan penggunaan dan penjualan kereta terbang dalam kalangan rakyat negara ini, selepas pengumuman pembangunan kereta itu mendapat pelbagai reaksi, sebahagian besarnya negatif.
"Kereta terbang ini bukan untuk dijual kepada orang ramai, sama seperti pembangunan (kereta) Formula 1 dan kapal terbang. Orang ramai tidak beli kereta Formula 1 dan kapal terbang, sebaliknya mereka naik kapal terbang itu.”
Selasa lalu, Redzuan dipetik Bernama sebagai berkata, kereta terbang pertama Malaysia akan dipacu teknologi tempatan, dengan prototaip kereta itu sudah ada dan dijangka diperkenalkan tahun ini.
Katanya, pembangunan kereta terbang itu bakal menarik pelaburan luar dan membuka lebih banyak peluang pekerjaan, khususnya dalam bidang kejuruteraan.
Ahli Parlimen Alor Gajah itu berkata, rakyat diminta memahami dan menerima usaha kerajaan dalam pembangunan kereta terbang itu secara positif serta terbuka agar dapat bersaing dan setaraf rakyat negara maju pada masa depan.
"Kereta terbang bukan perkara baru dan apa yang kita lakukan untuk merangsang pemikiran dan minda, terutama bagi mereka yang mahu berusaha dan tahu pentingnya teknologi.”
Sementara itu, beliau berkata, pembinaan hospital di Semenyih oleh pelabur Bosnia bukan agenda politik, sebaliknya usaha kerajaan membangunkan kawasan itu dan memberi perkhidmatan lebih baik kepada rakyat.
Katanya, pelabur Bosnia yang sudah membangunkan industri kesihatan di seluruh negara dengan 150,000 katil sehingga kini, bercadang mengembangkan operasi mereka dengan membina hospital 150 katil di kawasan pinggir bandar itu.
"Kita melihat ada keperluan untuk pembangunan hospital di Semenyih dan akan memberi cadangan lokasi sesuai, selepas mereka mengemukakan pelan pembangunan.”