Siasat segera isu penyelewengan TH

Iklan
MOHD YAHYA
SHAH ALAM - Persatuan Pengguna Murni Selangor (Murni Selangor) mendesak pihak polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) segera membuat siasatan terperinci berhubung isu berbangkit mengenai Lembaga Tabung Haji (TH).

Pengerusinya, Mohd Yahya Mat Sahri berkata, siasatan secara adil dan profesional perlu bagi memastikan pendakwaan di mahkamah untuk membersihkan nama institusi Islam itu.

Menurutnya, seperti yang dilapor dipercayai terdapat penyelewengan dana berjumlah RM22 juta dan penjualan 95 peratus pegangan milik anak syarikat TH melibatkan sejumlah RM3.8 bilion.

Katanya, berita itu cukup menyedihkan kerana TH merupakan sebuah institusi kewangan Islam unggul di Malaysia dan sebuah badan berkanun yang ditubuhkan oleh Kerajaan Malaysia pada tahun 1963.

"TH ditadbir berdasarkan Akta Tabung Haji 1995 (Akta 535), mempunyai lebih 50 tahun pengalaman dalam deposit, perkhidmatan, operasi haji dan pelaburan dana. TH telah menguruskan deposit melebihi RM73 billion pada tahun lalu.

"Selaku pengguna serta penyimpan deposit TH, kita cukup terkejut dan kecewa kerana berlakunya satu kes kecurangan melampau melibatkan institusi kewangan Islam.

"Tidak boleh dibayangkan bagaimana tabungan penyimpan TH terdiri daripada pelbagai golongan termasuk petani, nelayan, peniaga kecil, warga emas, ibu-ibu tunggal dan anak-anak kecil dirompak oleh mereka yang diberi tanggungjawab tetapi tidak amanah,”katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau mengumpamakan tindakan pihak tidak bertanggungawab ibarat ‘syaitan’ bertopeng manusia suci.

[ ARTIKEL BERKAITAN: Gempar! lebih RM22j dana Tabung Haji untuk politik ]

Terdahulu, Sinar Harian melaporkan TH mendedahkan dana lebih RM22 juta digunakan untuk tujuan politik pada tahun lalu.

Difahamkan perkara ini timbul hasil siasatan dalaman pertama pengurusan baharu yang dilantik Julai 2018 terhadap transaksi lalu.

Dalam satu kenyataan, TH berkata pemegang amanah Program Yayasan Tabung Haji (YTH) ketika itu termasuk bekas Pengerusinya, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim dan bekas Ketua Pegawai Eksekutif, Tan Sri Ismee Ismail.

Sehubungan itu, TH telah membuat laporan polis semalam.