Enggan mohon maaf, sedia berdepan di mahkamah: Poay Tiong

Iklan
Ahli Parlimen Kota Melaka, Khoo Poay Tiong (kanan) menunjukkan surat tuntutan yang diterimanya daripada peguam Abdul Rahim bertarikh 21 Februari lalu.

MELAKA - Ahli Parlimen Kota Melaka, Khoo Poay Tiong berkata, beliau bersedia berdepan bekas Ketua Menteri Melaka, Tan Sri Abdul Rahim Thamby Chik di mahkamah dan tidak akan memenuhi mana-mana tuntutan bekas pemimpin itu.

Ia ekoran satu surat tuntutan yang diterimanya daripada peguam Abdul Rahim bertarikh 21 Februari lalu mengenai kenyataan beliau yang dimuat naik di Facebook pada 16 Disember 2018 lalu bertajuk 'Rahim Thamby Chik bukan bapa pembangunan Melaka tetapi bapa segala skandal Melaka'.

Iklan
Iklan

Di dalam kenyataan tersebut Poay Tiong turut menyeru supaya parti Bersatu menolak permohonan keahlian Abdul Rahim.

Menurutnya lagi, di dalam surat tuntutan tersebut, Abdul Rahim mendakwa kenyataan yang dimuat naik beliau adalah suatu fitnah dan menuntut antara lain agar dirinya menarik balik kenyataan itu, selain menuntut permohonan maaf secara terbuka, membayar pampasan sebanyak RM1.5 juta atau berdepan tindakan di mahkamah.

Iklan

"Saya tidak akan memenuhi mana-mana tuntutan Rahim Thamby Chik. Saya menafikan semua dakwaan itu adalah fitnah dan berniat jahat seperti mana dinyatakan di dalam surat tuntutan tersebut.

"Saya juga akan mengarahkan peguam saya untuk menjawab surat tersebut. Saya bersedia untuk mempertahankan diri dan menentang apa-apa tindakan guaman di mahkamah yang mungkin diambil oleh Rahim Thamby Chik," katanya dalam satu sidang media yang diadakan di Pusat Khidmat Rakyat, Parlimen Kota Melaka di sini, hari ini.

Iklan

Turut sama, Exco Kesihatan dan Antidadah negeri yang juga ADUN Kota Laksamana, Low Chee Leong.

Poay Tiong turut menegaskan permohonan Abdul Rahim untuk menyertai Bersatu sebagai satu isu berkepentingan awam kerana ia menimbulkan persoalan terhadap kredibiliti dan integriti PH.

"Sebagaimana yang telah saya nyatakan sebelum ini, saya mempunyai tanggungjawab sebagai seorang wakil rakyat untuk menyuarakan kebimbangan rakyat terhadap isu seperti ini.

"Saya juga hairan kerana Abdul Rahim membuat keputusan memulakan tindakan mahkamah selepas dua bulan saya membuat kenyataan tersebut. Adakah Abdul Rahim teragak-agak dan mengambil masa yang begitu lama kerana tidak mahu menjejaskan peluangnya untuk menyertai Bersatu?

"Adakah ini bermakna permohonannya untuk menyertai Bersatu telah ditolak sehingga beliau bebas untuk menyaman saya?," soalnya.