KOTA BELUD - Seorang wanita warga emas yang hilang sejak lima hari lalu ditemui dalam keadaan tidak bermaya dan mengalami luka ringan di Kampung Ginapas di sini pada pagi Rabu.
Mangsa, Tianun Padis, 86, ditemui pada jam 7.45 pagi oleh pasangan suami isteri sebelum dihantar pulang ke rumahnya.
Ketua Polis Daerah Kota Belud, Superintendan Sahimi Husin berkata, mengikut maklumat daripada pasangan terbabit, mereka terlihat mangsa sedang berjalan keluar dari laluan jalan raya.
Menurutnya, mereka yang mengenali mangsa sebagai orang dicari oleh pihak berkuasa bertindak membawa mangsa pulang ke rumahnya.
"Jarak mangsa ditemui iaitu kira-kira 1.24 kilometer dari Pos Kawalan Tempat Kejadian (PKTK). Mangsa ditemui dalam keadaan kepenatan dan mengalami kecederaan ringan.
"Bagaimanapun, mangsa dalam keadaan selamat dan sedang menerima rawatan di Hospital Kota Belud," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Rabu.
Sahimi berkata, dengan penemuan warga emas terbabit, PKTK ditutup dengan rasminya pada jam 9.30 pagi.
Sinar Harian pada Isnin melaporkan mangsa hilang sejak Sabtu lalu selepas tidak pulang ke rumahnya di Kampung Kalibungan Rosok.