SUBANG JAYA - Kumpulan Darul Ehsan Berhad Waste Management (KDEBWM) Sdn Bhd mengambil tindakan segera bagi menggantikan enam tong sampah jenis leach bin di Pangsapuri PJS7/15, yang usang dan rosak teruk.
Pengarah Urusannya, Ramli Mohd Tahir berkata, pihaknya mengambil tindakan berkenaan selepas mendapat maklumat mengenai keadaan leach bin di kawasan itu menerusi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Subang Jaya, Michelle Ng Mei Sze.
Ramli berkata, menerusi sumbangan itu, pihaknya berharap agar sistem pengurusan sampah domestik di pangsapuri berkenaan dapat dilaksanakan lancar selepas ini.
"Ini bukan pertama kali kita melakukan sumbangan CSR sebegini malah terdapat banyak lokasi telah kami turun untuk memberikan sumbangan seperti ini," katanya kepada pemberita selepas turun padang bagi melakukan penyerahan sumbangan terbabit di pangsapuri berkenaan pada petang Rabu.
Hadir sama bagi menyempurnakan majlis penyerahan tersebut adalah Michelle bersama dengan Wakil Penduduk Pangsapuri PJS7/15, L. Baranitharan.
Mengulas lanjut, Ramli berkata, tong sampah berkenaan yang berkapasiti 1,100 liter itu adalah bernilai RM1,700 bagi setiap satu unit.
"Saya berharap agar penduduk dapat menggunakan dan menjaga tong ini dengan sebaiknya demi kemudahan semua," katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, Ramli berkata, seluruh kakitangan KDEBWM berjumlah 10,500 orang semuanya telah mendapatkan vaksin Covid-19.
Tambah Ramli, pihaknya turut berbesar hati dengan bantuan yang diberikan Michelle pada bulan lalu yang menggunakan peruntukan kuota vaksin menerusi Program Vaksin Selangor (SelVAX) untuk diberikan kepada 250 krew KDEBWM di Subang Jaya.
"Kami amat berbesar hati dengan inisiatif yang diambil itu bagi membantu kakitangan KDEBWM mendapatkan vaksin secepat mungkin," katanya.