SHAH ALAM - Malaysia perlu wujudkan platform yang bersesuaian untuk perbincangan berkenaan permasalahan prejudis kaum melibatkan semua peringkat demi mencapai jalan tengah untuk kebaikan bersama.
Timbalan Presiden Pertubuhan Ikram Malaysia (Ikram), Badlishah Sham berkata, untuk mewujudkan perbincangan yang matang dan berhasil, ia memerlukan kepimpinan di peringkat kebangsaan, negeri dan komuniti untuk mencapai matlamat bersama.
Menurutnya, perkara utama adalah pemimpin perlu menyedari isu-isu semasa yang melanda masyarakat dengan mencari jalan penyelesaian.
"Kita perlu sedar bahawa formula yang berjaya lepas mungkin tidak dapat diguna semula memandangkan pelbagai perubahan yang akan mengelirukan rakyat.
"Situasi pandemik Covid-19 telah mendedahkan pelbagai isu yang dihadapi oleh masyarakat dan sudah tiba masanya untuk memandang serius menangani isu-isu berkaitan dan permasalahan perpaduan nasional serta kemiskinan.
"Jika permasalahan tersebut tidak ditangani dengan baik, maka negara tidak akan mampu maju dan mewujudkan kemakmuran negara,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Mengulas lanjut, Badlishah berkata, Malaysia telah mencapai pelbagai kemajuan tetapi masih belum merdeka daripada prejudis kaum dan sentimen yang menghalang daripada wujudnya negara yang utuh dan bersatu.
Tambahnya, sudah tiba rakyat membebaskan diri dari prejudis kaum dan sikap perkauman bukan lahir dengan sendiri sebaliknya diajar menjadi sedemikian.
"Ikram juga telah menerbit sebuah video bertajuk 'Mak dah siap' bersempena Hari Kebangsaan yang ke-64 membawa mesej sikap perkauman bukannya lahir dengan sendiri tetapi ia dididik sejak awal lagi.
"Walaupun video tersebut mendapat pelbagai reaksi positif dan negatif serta kontroversi, ia berjaya mencetus satu perbincangan tentang topik prejudis kaum yang sering dielakkan oleh masyarakat.
"Ibu bapa, masyarakat, media, tokoh memainkan peranan penting dalam melakukan perubahan dalam mendidik generasi muda dengan nilai-nilai murni sejak mereka kecil,” ujarnya.