Azizulhasni dedah rahsia kekal lama di persada dunia

Iklan
Azizulhasni - Foto Bernama

KONSEP 4D iaitu Direction (Arah), Dedication (Dedikasi), Determination (Keazaman) dan Discipline (Disiplin) antara rahsia jaguh berbasikal trek negara Datuk Mohd Azizulhasni Awang kekal lama di peringkat antarabangsa.

Pemenang pingat perak acara keirin di Sukan Olimpik Tokyo 2020 itu berkata, konsep tersebut menjadi panduannya dalam meniti karier sebagai atlet profesional, malah mula mengamalkannya sejak menceburi bidang sukan ketika masih remaja.

Iklan
Iklan

Mohd Azizulhasni, 33, berkata, dengan mempunyai arah tuju dalam melakukan sesuatu perkara, ia akan memastikan seseorang itu kekal berada di landasan tepat walaupun ada kalanya sedikit tersasar disebabkan gangguan yang timbul.

"Dalam kehidupan ini kita akan menyimpang, jadi bila kita tahu arah tujuan sebenar kita, kita akan sedar apabila kita sudah terkeluar daripada landasan dan perlu balik semula menuju ke arah yang betul," katanya dalam Webinar Edisi Khas Sempena Sambutan Bulan Kemerdekaan UiTM: Inspirasi Perjuangan Dari Bumi Tokyo pada Rabu.

Iklan

Webinar anjuran Pusat Sukan Universiti Teknologi Mara (UiTM) dengan kerjasama Pejabat Pengarah Pembangunan Pelajar UiTM itu turut menampilkan Presiden Majlis Paralimpik Malaysia (MPM), Datuk Seri Megat Shahriman Zaharudin sebagai ahli panel.

Pada masa sama, Azizulhasni menegaskan elemen dedikasi berperanan penting kepada atlet dan menyifatkannya sebagai satu bentuk pengorbanan kerana seseorang itu perlu mengabdikan diri terhadap usaha untuk mencapai sasaran dihajati.

Iklan

Sebagai contoh, Azizulhasni berkata, beliau terpaksa mengorbankan zaman remajanya selepas meninggalkan kehidupan di kampung apabila mengambil keputusan menerima tawaran menyambung pelajaran di Sekolah Sukan Bukit Jalil pada 2004.

"Waktu saya pindah dari Dungun, Terengganu ke Bukit Jalil, waktu itu saya dah tinggal kawan-kawan di kampung, masa usia muda saya tolak tepi. Saya buat pilihan ke Bukit Jalil jadi saya letakkan keseluruhan diri saya memang untuk sukan. Saya berlatih, bertanding, jaga waktu rehat dan jaga pemakanan.

"Waktu untuk bersuka ria saya kurangkan sebab tahu saya ada masa yang singkat untuk fokuskan kepada karier sukan dan lepas tu saya boleh menikmatinya apabila sudah bersara nanti," katanya.

Menyentuh mengenai keazaman dan disiplin, Azizulhasni berkata, kedua-dua elemen itu membantu seseorang atlet untuk pergi lebih jauh dalam karier mereka meskipun berdepan pelbagai cabaran seperti kecederaan dan tumpuan dari pelbagai pihak.

"Kita kena tekadkan keazaman untuk mencapai kejayaan dan tanpa disiplin, kita akan terumbang-ambing. Walaupun kita sangat berbakat dan pandai macam mana sekali pun, jika tiada disiplin kita tidak boleh nak mencapai kejayaan itu," jelasnya.

Dalam pada itu, UiTM dalam kenyataan memaklumkan MPM akan memberi ruang kepada pakar-pakar universiti tersebut untuk membuat penyelidikan berkaitan atlet paralimpik Malaysia bagi meningkatkan prestasi mereka dalam menuju Sukan Paralimpik Paris 2024.

"Dengan prestasi kutipan tiga pingat emas dalam dua edisi Sukan Paralimpik sebelum ini diharap kerjasama yang akan dijalin dapat membantu kontinjen Paralimpik negara untuk membawa pulang lebih dari tiga pingat emas di Paris nanti," menurut kenyataan itu. - Bernama