Jerebu teruk mungkin melanda negara

Iklan
Pembakaran secara terbuka amat tidak digalakkan bagi mengelakkan kejadian jerebu melanda negara ini.

BATU KAWAN - Orang ramai diminta agar tidak melakukan pembakaran terbuka bagi mengelakkan kejadian jerebu teruk melanda negara ini.

Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat (JPBM), Datuk Mohammad Hamdan Wahid berkata, pihaknya tidak menolak berkemungkinan akan berlaku jerebu teruk seperti yang berlaku pada 1997 dan 2015 jika pembakaran terbuka masih berterusan.

Iklan
Iklan

Menurutnya, dalam keadaan cuaca panas melampau yang melanda negara ini terutamanya di kawasan Semenanjung, pembakaran secara terbuka amat tidak digalakkan.

"Orang ramai dinasihatkan agar tidak menjalankan aktiviti itu dalam keadaan cuaca yang panas pada masa ini. Walaupun kita tiada titik panas yang dikesan melalui satelit namun negara jiran kita dikesan mempunyai dua titik panas iaitu di Riau dan Jambi.

Iklan

"Sebagai negara jiran, kita akan mengimport asap dari kedua-dua titik panas ini. Sebab itu, jika aktiviti pembakaran terbuka berlaku secara tidak terkawal, kita bimbang negara juga akan dikesan mempunyai titik panas. Jika titik panas di Sumatera dan negara kita bercampur, maka jerebu teruk akan berlaku, sama seperti yang berlaku pada 1997 dan 2015," katanya kepada media tadi.

Tambahnya, JBPM merekodkan 3,054 kes kebakaran terbuka bagi bulan lalu iaitu hampir sekali ganda bagi Januari iaitu 1,936 kes.

Mohammad Hamdan (tengah) menyampaikan anugerah kepada anggota JBPM Pulau Pinang tadi.

Iklan

"Dengan keadaan cuaca panas yang melanda negara kini, kita menerima banyak panggilan pembakaran terbuka melibatkan kebakaran hutan dan belukar. Dan paling ketara adalah bulan Februari lalu dengan jumlah kes 3,054.

"Dengan keadaan cuaca panas melampau yang dijangka berterusan sehingga April ini, saya mengarahkan anggota JBPM di semua pusat operasi agar sentiasa bersiap sedia untuk sebarang kemungkinan. Antaranya, Pasukan Unit Udara di Sibu, Sarawak; Subang, Selangor dan Bertam di Pulau Pinang.

"Unit ini akan menggunakan helikopter atau pesawat untuk membuat pemadaman 'water bombing' di kawasan hutan jika berlaku kebakaran terbuka," katanya.

Beliau turut menasihatkan pesawah di Kedah dan Perlis agar tidak membakar jerami padi pada musim panas ini.

Tambahnya, pembakaran jerami hanya boleh dibuat jika mendapat pemantauan atau nasihat dari Jabatan Alam Sekitar (JAS).

Terdahulu, Mohammad Hamdan menyampaikan anugerah Pingat Kebesaran Jabatan kepada 27 penerima dan anugerah perkhidmatan cemerlang 2018 kepada 68 penerima serta sijil perkhidmatan 30 tahun JBPM kepada 56 penerima di Majlis Pengaugerahan Pingat Kebesaran Jabatan dan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2018 di sini.