KUALA LUMPUR - Jabatan Peguam Negara (AGC) pada Rabu membantah permohonan kebenaran semakan kehakiman Pertubuhan Kebajikan Rumah Bonda Kuala Lumpur, yang dikenali sebagai Rumah Bonda, bagi mencabar Tindakan Lak atau sita oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Wilayah Persekutuan ke atas premis itu susulan dakwaan berlaku penderaan terhadap seorang remaja Sindrom Down berumur 13 tahun.
Peguam Kanan Persekutuan, Nur Idayu Amir ketika dihubungi pemberita berkata, pihaknya memaklumkan mahkamah bahawa bantahan itu dikemukakan atas alasan pemohon sepatutnya merayu kepada Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat dalam tempoh 30 hari selepas Tindakan Lak mengikut Seksyen 22 Akta Pusat Jagaan 1993.
"Pemohon tidak layak memohon perintah mandamus kerana permohonan itu tidak memenuhi Seksyen 44 Akta Relief Spesifik 1950,” katanya sambil menambah mahkamah menetapkan 15 November untuk memutuskan permohonan itu.
Rabu ditetapkan untuk pendengaran permohonan itu secara dalam talian di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Ahmad Kamal Md Shahid.
Pada prosiding itu, peguam Asiah Abd Jalil yang mewakili Rumah Bonda memaklumkan mahkamah bahawa pemohon tidak membuat rayuan kepada menteri atas alasan terdapat kemungkinan tinggi berlaku sikap berat sebelah.
"Pemohon adalah pertubuhan yang membuka dan menguruskan Rumah Bonda maka permohonan pemohon mempunyai locus standi di mahkamah,” katanya.
Pada 13 Ogos lepas, Rumah Bonda menerusi Pengerusinya, Siti Bainun Ahd Razali memfailkan permohonan itu dan menamakan Pengarah JKM Wilayah Persekutuan serta Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat sebagi responden.
Antara lain, Siti Bainun mendakwa, Notis Tindakan Lak yang dikeluarkan JKM pada 9 Julai terhadap pemohon dan pelaksanaan tindakan itu pada 12 Julai adalah dipengaruhi desakan masyarakat susulan laporan media mengenai dakwaan berlaku penderaan terhadap remaja terbabit yang tular pada 5 Julai.
Siti Bainun mendakwa, kedua-dua responden bertindak sedemikian sebagai suatu reaksi terburu-buru selepas desakan masyarakat yang menuntut JKM dan kerajaan mengambil tindakan tegas dalam kes itu sedangkan remaja tersebut tiada kaitan dan bukan penghuni Rumah Bonda.
Remaja itu sebaliknya merupakan anak jagaan Siti Bainun yang diperintahkan oleh Mahkamah Kanak-Kanak Kuala Lumpur pada 14 Julai lepas atas kapasiti peribadi beliau sebagai Orang Yang Layak dan Sesuai.
Siti Bainun memohon deklarasi bahawa sepanjang masa yang material, Rumah Bonda sedang dalam proses permohonan pendaftaran dengan JKM, justeru ia bukan sebuah rumah perlindungan atau pusat jagaan haram. - Bernama