Perdana Menteri umum beberapa sektor dibuka

Iklan
Ismail Sabri- Foto fail Bernama

SHAH ALAM - Mesyuarat Jawatankuasa Khas Pengurusan Pandemik bersetuju untuk memberi kelonggaran prosedur operasi standard (SOP) kepada beberapa sektor.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, antara sektor terlibat adalah sektor pendidikan, rekreasi, sosial dan pekerjaan atau ekonomi.

Iklan
Iklan

Menurutnya, pengoperasian Institut Latihan Sektor Pengangkutan Udara dan Darat telah dibenarkan beroperasi bagi di negeri fasa dua Pelan Pemulihan Negara (PPN)

"Tabika, taska, tadika, pusat jagaan harian dan pusat perkembangan minda dibenarkan beroperasi bagi anak-anak yang ibu bapa mereka bekerja di negeri fasa satu dan dua.

Iklan

"Operator dan pekerja di pusat–pusat ini perlu menerima vaksinasi lengkap sebelum dibenarkan beroperasi,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Selain itu, Ismail Sabri berkata, kelonggaran baharu bagi sektor rekreasi di negeri fasa satu dan fasa dua adalah kebenaran melibatkan aktiviti kolam memancing dengan mematuhi syarat vaksinasi lengkap.

Iklan

Beliau berkata, bagi negeri di fasa satu, ia bermula pada jam 6 pagi hingga 8 malam di daerah sama manakala fasa dua pula sehingga 10 malam di negeri yang sama.

Bagi sektor sosial di negeri fasa dua dan tiga PPN pula, Ismail Sabri berkata, aktiviti sukan dan rekreasi bersentuhan fizikal melibatkan pengoperasian fasiliti sukan dan rekreasi terbuka dan tertutup dibenarkan.

Begitupun, jelasnya, ia hendaklah dibenarkan kepada individu yang telah lengkap divaksin dan dilakukan secara tempahan, sanitasi, penjadualan penggunaan dan pemantauan rapi.

"Aktiviti sukan dan rekreasi berpasukan yang melibatkan sentuhan fizikal seperti bola sepak, bola tampar, takraw dan lain-lain boleh beroperasi mengikut kapasiti penuh dan dilakukan di premis yang mempunyai kawalan penyeliaan sepenuhnya.

"Aktiviti kecergasan individu seperti senamrobik, zumba dan seumpamanya yang dilakukan secara berkumpulan di kawasan atau premis yang sama dengan mematuhi 50 peratus kapasiti atau tidak melebihi 50 orang dengan seliaan jurulatih atau infrastruktur.

"Kesemua ini dibuka kepada individu yang telah lengkap divaksin,” ujarnya.

Sementara itu, Perdana Menteri berkata, aktiviti ziarah kubur Islam dibenarkan dengan mengikut ketetapan pihak berkuasa agama negeri manakala bagi kubur selain Islam juga dibenarkan dengan mengikut ketetapan Kementerian Perpaduan Negara (KPN)

Tambahnya, kapal persiaran turut dibenarkan beroperasi dengan 50 peratus kapasiti dan semua anak kapal dan penumpang mesti lengkap divaksin.

Dalam pada itu, Ismail Sabri turut mengumumkan beberapa kelonggaran bagi sektor pekerjaan atau ekonomi di negeri fasa satu berkuatkuasa 17 September ini.

Katanya, pembekalan mineral dan bahan batuan termasuk pasir serta pergerakan dari tenemen mineral kuari atau tapak pengorekan ke premis atau tapak projek pembinaan infrastruktur awam yang utama dan kerja-kerja pembinaan bangunan serta premis industri atau perkhidmatan perlu dibenarkan.

"Penjagaan dan penyelenggaraan di atas tenemen mineral, kuari dan tapak pengorekan serta di premis Lesen Mineral dan Lesen Memproses Mineral dibenarkan bagi tujuan keselamatan (safety and security) untuk mengelakkan risiko kemalangan.

"Turut dibenarkan, pengoperasian tenemen, mineral dan tapak pengorekan bagi tujuan penghasilan mineral dan bahan batuan termasuk pasir; pengeksportan mineral dan bahan batuan termasuk pasir sungai ke luar negara dan perladangan berasaskan kayu dan kenaf,” ujarnya.

Sementara itu, beliau berkata, 11 lagi jenis perniagaan kembali beroperasi dengan syarat vaksin lengkap yang telah ditetapkan antaranya kedai barang fotografi atau perkhidmatan fotografi; kedai barangan terpakai.

"Turut sama dibenarkan beroperasi kedai bunga atau nurseri; kedai kraftangan dan cenderahati; kedai antik; kedai alat permainan; kedai permaidani; kedai kandungan kreatif atau peralatan industri kreatif; kedai outdoor termasuk peralatan perkhemahan, memancing dan lain-lain.

"Kedai kosmetik, penjagaan kulit dan minyak wangi; kedai tembakau termasuk vape atau rokok elektronik juga dibenarkan," ujarnya.

Bagi negeri fasa dua pula, beliau berkata, semua pejabat swasta dibenarkan beroperasi dengan kapasiti 60 peratus pekerja sekiranya 40 peratus pekerja telah lengkap divaksin; kapasiti 80 peratus pekerja sekiranya 60 peratus pekerja telah lengkap divaksin dan kapasiti 100 peratus pekerja sekiranya 80 peratus pekerja telah lengkap divaksin.

Tambah Ismail Sabri, kenderaan pekerja dengan penumpang lengkap divaksin dibenarkan dengan 100 peratus kapasiti kenderaan manakala kilang perabot turut dibenarkan beroperasi.

"Bagi aktiviti-aktiviti Sektor Pengurusan Perhutanan merangkumi pengusahasilan hutan (pembalakan); pengusahasilan hutan (hasil hutan bukan kayu); perladangan hutan dalam Hutan Simpan Kekal (HSK) dan Pembangunan hutan (di bawah Projek Pembangunan Hutan RMKe-12) hanya dibenarkan di negeri fasa dua dan tiga sahaja.

"Mesyuarat secara bersemuka kepada individu yang telah lengkap divaksin juga boleh diadakan bagi negeri di fasa dua, tiga dan empat," jelasnya.