HANOI - Filipina sudah memastikan bekalan vaksin Covid-19 mencukupi untuk diberi kepada 100 juta rakyatnya menjelang akhir tahun ini, kata Setiausaha Perbendaharaan Carlos Dominguez pada Selasa.
Dominguez berkata, setakat 12 September, jumlah vaksin yang ditempah kerajaan berjumlah 121.13 juta dos, lapor Agensi Berita Vietnam (VNA).
Sebanyak 50.12 juta dos lagi diperoleh menerusi kerjasama dua hala dan Kemudahan Akses Global Vaksin Covid-19 (COVAX) manakala 24.12 juta dos tambahan dibekalkan kerajaan tempatan dan sektor swasta.
Sejumlah 39 juta dos vaksin Covid-19 telah diberikan kepada lebih 17 juta penduduk Filipina setakat ini.
Manila dijangka melonggarkan sekatan pergerakan Covid-19 bermula Khamis di bawah skim perintis Kerajaan Filipina.
Skim itu merangkumi lima tahap amaran untuk menentukan sektor perniagaan yang dibenarkan beroperasi. Penjarakan sosial hanya dilaksanakan di kawasan dan jalan tertentu. Andai berjaya, kaedah ini akan diguna pakai di seluruh negara.
Strategi itu juga menyaksikan kemungkinan sekolah dibuka semula tetapi pembelajaran secara bersemuka adalah terhad dan pembukaan kembali kemudahan rekreasi di kawasan dengan kadar jangkitan yang rendah.
Sehingga kini, Filipina mencatat lebih 2.2 juta kes Covid-19 dan 35,529 kematian. - Bernama