Pelajar OKU hidap tulang belakang bengkok

Iklan
Karen dan Mohd Rawi menunjukkan keadaan tulang belakang Jasper Mark yang kelihatan membengkok dan memerlukan pembedahan segera, hari ini.
IPOH - Seorang ibu meminta bantuan orang ramai bagi membiayai kos pembedahan anak sulungnya berusia 13 tahun yang menghidap penyakit tulang belakang membengkok atau congenital scoliosis.

Karen Khor Pooi Mun, 39, berkata, sejumlah RM32,000 diperlukan untuk caj peralatan ortopedik antaranya skru, nat, rod dan lain -lain untuk keperluan anak lelakinya, Jasper Mark Cheun Han yang juga merupakan pemegang kad orang kurang upaya (OKU).

"Caj peralatan itu perlu ditanggung sendiri sebelum dia menjalani pembedahan yang ditetapkan pada Februari tahun hadapan di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) Kuala Lumpur.

"Doktor menyarankan pembedahan tersebut perlu dilakukan segera meskipun peluang untuk lumpuh dianggarkan 20 peratus," katanya.

Ibu tunggal kepada dua anak itu ditemui ketika mendapatkan bantuan daripada Pusat Khidmat dan Aduan BN Perak di sini, hari ini.

Menurutnya, dia yang bekerja sebagai pembantu restoran dengan gaji RM500 sebulan agak mustahil untuknya mengumpul wang tersebut dalam tempoh terdekat.

"Penyakit itu mula dikesan ketika Jasper berusia tiga tahun semasa mendapatkan rawatan tangan patah di sebuah hospital. Bermula dari situ tulang belakangnya membengkok sedikit demi sedikit.

"Keadaan itu menyebabkan fizikalnya seperti orang tua yang tidak boleh mengangkat berat termasuk mengendung beg sekolah," katanya.

Karen berkata, anaknya yang belajar di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Keledang itu akan mula memasuki wad pada 11 Februari 2019 selama dua bulan untuk pembedahan pada 12 Februari dan 26 Mac nanti.

"Sekiranya pembedahan tidak dilakukan, keadaan fizikalnya itu akan menjejaskan pernafasan dan organ dalaman.

"Saya meminta bantuan orang ramai untuk membantu sekaligus mengembalikan senyuman di wajahnya. Saya mahu melihat dia kembali aktif terutama dalam sukan badminton yang diminatinya," katanya.

Sumbangan boleh disalurkan melalui Bank Hong Leong miliknya di nombor akaun 06850176267 atau menghubunginya di talian 011-35662677 atau Ketua Urusetia Pusat Khidmat dan Aduan BN, Mohd Rawi Abdullah, 019-5168338.