Rakyat diseru bersatu, jiwai Hari Malaysia

Iklan
Anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Terengganu menghiasi balai mereka dengan Jalur Gemilang sempena Hari Malaysia ke-58 di Balai Bomba Kuala Terengganu.
 - Foto Bernama

KUALA LUMPUR - Hari Malaysia yang disambut esok diharap menjadi wadah penyatuan rakyat dalam mengukuhkan perpaduan, menyemarakkan lagi semangat cintakan negara serta patriotisme dalam jiwa, demikian harapan beberapa pemimpin negara.

Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa menerusi catatan di Twitter rasminya berkata 16 September merupakan tarikh yang amat bermakna buat Keluarga Malaysia.

Iklan
Iklan

"Rakyat Malaysia di setiap pelusuk tanah air terus membuktikan kenapa tiada bumi yang lebih bertuah daripada bumi Malaysia. Selamat Hari Malaysia!,” katanya.

Menteri Perpaduan Negara Datuk Halimah Mohamed Sadique pula menerusi perutusan Hari Malaysia malam ini mengajak rakyat negara ini agar bersatu, bermuafakat dan berganding bahu sebagai sebuah Keluarga Malaysia bagi mengakhiri pandemik Covid-19.

Iklan

Halimah berkata, Covid-19 ternyata membawa cabaran tersendiri buat pelbagai lapisan masyarakat tanpa mengira latar belakang dan perbezaan dengan perjuangan untuk mengakhiri cabaran pandemik itu tidak akan berjaya tanpa kerjasama daripada semua pihak.

Ucapan sama turut dizahirkan Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Seri Mahdzir Khalid menerusi akaun Twitternya yang menyeru rakyat bersama-sama berganding bahu, bermuafakat dan bersatu hati membawa negara ke mercu kejayaan dalam segala bidang.

Iklan

Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Zahidi Zainul Abidin pula mengajak rakyat Malaysia untuk bersama-sama menjiwai perjuangan dan detik bersejarah tertubuhnya negara ini dan berharap Malaysia akan terus kekal sejahtera dan segera pulih daripada pandemik Covid-19.

"Hari Malaysia bukanlah hanya sambutan semata-mata namun merupakan detik bersejarah yang mesti kita kenang dan hayati bagi menghargai pengorbanan para pejuang negara yang telah banyak berjasa dalam penubuhan negara berdaulat ini," katanya melalui laman sosialnya.

Tidak ketinggalan, Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Azhar Azizan Harun turut mengingatkan rakyat Malaysia untuk terus patuh kepada prosedur operasi standard (SOP) dalam membendung penularan wabak Covid-19.

Sementara itu, Menteri Besar Perak Datuk Saarani Mohamad berkata, seiring dengan semangat kemerdekaan yang begitu dirasai ketika ini, beliau menyeru rakyat bersama-sama menguatkan azam dan tekad bagi terus berjuang memerdekakan diri, keluarga dan masyarakat daripada ancaman wabak COVID-19.

"Meskipun sudah ada kelonggaran tertentu diumumkan oleh kerajaan, saya harap ia tidak dijadikan alasan untuk kita berasa terlalu selesa apatah lagi mengambil mudah... masih ada prosedur operasi standard yang perlu kita patuhi dan masih ada kawasan di negeri kita yang masih di bawah pelaksanaan Perintah Kawalan Diperketatkan," katanya dalam perutusan sempena Hari Malaysia.

Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari pula berkata, beberapa kelonggaran yang diberikan kepada negeri itu yang kini beralih ke Fasa Dua Pelan Pemulihan Negara telah menggembirakan ramai pihak serta memberi ruang untuk mendalami makna dan kepentingan Hari Malaysia 2021.

Amirudin turut menasihatkan warga Selangor untuk menginsafi keperluan hidup dengan Covid-19 secara endemik serta berharap rakyat negeri itu dapat bersama-sama kekal bertanggungjawab, menjaga kesihatan dan menjadi warga contoh kepada negeri dan negara lain.

Di LABUAN, Ahli Dewan Negara Senator Datuk Bashir Alias mengajak rakyat Malaysia untuk bersatu hati dan menghargai nikmat keamanan serta kemerdekaan yang dikecapi bagi menjamin keharmonian hidup dan mengelak persengketaan dan perpecahan.- Bernama