MoU tidak bermakna beri peluang kepada kerajaan

Iklan
Aminolhuda

JOHOR BAHRU - Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik yang ditandatangani kerajaan Persekutuan dan PH baru-baru ini tidak menjamin parti pemerintah memiliki kelebihan meskipun mempunyai kuasa dan sumber.

Ketua Pembangkang Johor, Aminolhuda Hassan berkata, persetujuan itu dibuat bagi memastikan kedua-dua pihak dapat bekerjasama dengan berpaksikan agenda kebajikan rakyat serta kepentingan ekonomi yang kian terancam akibat pandemik Covid-19.

Iklan
Iklan

Katanya, MoU itu tidak menjanjikan kemenangan sempurna buat parti pemerintah tetapi hanya ujian dan perkara itu akan dibuktikan sendiri oleh penilaian rakyat.

"Bagi saya, PH ambil pendekatan politik bijaksana dan bukan beri peluang kepada parti memerintah. Ini kerana kami (PH) mahu buktikan yang kami tidak hanya berpolitik semata-mata serta bukanlah gila kuasa dan jawatan. Perkara ini juga seharusnya dilakukan pihak di sana (kerajaan).

Iklan

"Bukan kami beri peluang, ini juga mengapa ada persetujuan PRU (pilihan raya umum) tidak boleh dilakukan tiba-tiba. Contohnya jika mereka yang berkuasa kini berasa seperti sudah mendapat kembali keyakinan rakyat dan terus memutuskan untuk pilihan raya

"Jika ini berlaku, ia jelas menunjukkan mereka gila kuasa dan laparkan jawatan, saya yakin rakyat melihat perkara itu. Ia ujian bukan kepada PH sahaja tetapi juga blok kerajaan," katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini pada Rabu.

Iklan

Aminolhuda berkata, pihaknya mengamalkan kematangan dalam membuat keputusan untuk memastikan pentadbiran negara lebih berstruktur selain rakyat yang diwakili mereka terbela walaupun berada di blok pembangkang.

"Seperti di Johor, peruntukan diberikan kepada pembangkang, kami juga kini boleh dilibatkan dalam urusan khusus dalam mendepani pandemik ini. Kami juga boleh berada dalam jawatankuasa seperti perbincangan atau proses pemberian vaksin misalnya.

"Rakyat yang kami wakili juga mendapat manfaat, kami PH mewakili sebahagian besar daripada pengundi di Johor kerana wakil rakyat kami lebih berada di kawasan pusat bandar yang populasinya lebih banyak," katanya.

Jelasnya, meskipun mempunyai persetujuan, ia bukan bermaksud PH tidak boleh mendesak dan hanya akan memberikan sokongan terhadap sebarang keputusan kerajaan.

"Ada persetujuan tetapi tidak bermakna kami di pihak mereka, kami sebagai pembangkang akan terus menjadi semak dan imbang dalam pemerintahan. Kami berjuang untuk rakyat dan hanya perkara mengenai kepentingan rakyat yang akan disokong," katanya.

Landskap politik Malaysia sebelum ini sekali lagi mencatat sejarah baharu apabila kerajaan dan pembangkang buat pertama kali menandatangani MoU dalam urusan pentadbiran negara sekali gus mewujudkan kerjasama seakan dwipartisan.