ALOR SETAR - Program Kasih Ibu Darul Aman (KIDA) yang merupakan kerjasama Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) dan kerajaan Kedah memastikan penerima yang layak tidak terputus bekalan makanan serta rawatan kesihatan ketika pandemik Covid-19.
KIDA merupakan salah satu daripada pelbagai program holistik dan bersepadu yang dijalankan NCIA untuk menangani cabaran kewangan dihadapi penduduk tempatan di Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) khususnya di Kedah.
Selari dengan tema Hari Kebangsaan 2021 dan Hari Malaysia 2021 iaitu Malaysia Prihatin, NCIA prihatin dan menjalankan projek-projek sosioekonomi seperti pelan pemulihan Covid-19 serta pelaksanaan program modal insan yang memfokuskan kepada pembangunan rakyat di NCER.
Ketua Eksekutif NCIA, Datuk Seri Jebasingam Issace John berkata, dalam menghadapi landskap ekonomi dunia pasca-Covid-19, NCIA mengambil pendekatan serampang tiga mata, dengan salah satu strategi adalah untuk mengutamakan pembangunan modal insan dan komuniti bagi memulihkan kembali ekonomi wilayah berkenaan.
"Program KIDA adalah sebahagian program bantuan kerajaan yang disalurkan melalui NCIA bagi menangani masalah kenaikan kos sara hidup dan menampung perbelanjaan keluarga.
"Kami yakin melalui program KIDA dan pelbagai program integrasi modal insan NCIA, lebih ramai keluarga dapat diperkasakan, sekali gus meningkatkan status sosioekonomi mereka yang terpinggir,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurutnya, KIDA kini dilihat lebih relevan sejak negara dilanda pandemik Covid-19 dan selari dengan saranan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang memberi fokus untuk membawa keluar Keluarga Malaysia daripada kemelut kesihatan dan ekonomi.
"Seramai 4,068 penerima daripada 31,775 penduduk miskin dan miskin tegar yang disenaraikan dalam senarai e-kasih ICU negeri Kedah telah menerima manfaat daripada program ini.
"Tahun ini, seramai 3,989 penerima kad KIDA yang terdiri daripada wanita berkeluarga dan suri rumah berusia 18 hingga 60 tahun yang tidak mempunyai pendapatan tetap serta tersenarai dalam senarai e-kasih ICU negeri Kedah telah menikmati bantuan pembelian barangan keperluan asas bernilai RM250 sebulan dan rawatan kesihatan bernilai RM500 setahun,” ujarnya.
Beliau berkata, program KIDA adalah program bantuan yang mengiktiraf peranan wanita dalam keluarga apabila golongan itu diberi peranan menguruskan sendiri perbelanjaan rumah dengan menggunakan kad KIDA.
"Terdapat 16 barangan keperluan asas seperti yang disenaraikan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) yang boleh dibeli menggunakan kad KIDA.
"Antaranya beras, roti, telur, gula, garam, tepung, minyak, sayur-sayuran, daging lembu, ayam dan ikan, lampin pakai buang, barangan keperluan sekolah dan kelengkapan mandian seperti sabun serta bahan pencuci,” katanya.
Sementara itu, seorang penerima KIDA dari daerah Kulim, Nasrah Abdul Kadir berkata, dengan bantuan pembelian barang dapur sebanyak RM250 sebulan, dia tidak perlu lagi runsing memikirkan mengenai perbelanjaan dapur, malah mereka sekeluarga tidak perlu lagi mengikat perut.
"Saya dapat memberi tumpuan untuk menjaga empat orang anak yang berstatus orang kurang upaya (OKU),” katanya.
Nasrah yang menghidap penyakit asma turut menerima manfaat perbelanjaan kesihatan RM500 setahun di klinik panel.
Bagi penerima KIDA dari daerah Padang Terap, Hadzirah Abdul Manaf bersyukur kerana dipilih sebagai penerima KIDA.
"Kami sekeluarga sebelum ini hanya bergantung dengan pendapatan suami sebagai penoreh getah. Rasa terbeban juga dengan penurunan harga getah di pasaran.
"Dengan bantuan KIDA, ia dapat meringankan beban kewangan keluarga kami,” katanya.
Limpahan ekonomi
Dalam pada itu, menurut Issace John, bantuan KIDA turut membawa kesan limpahan ekonomi setempat kerana telah memanfaatkan sebanyak 91 kedai runcit dan 145 klinik panel di kawasan luar bandar sejak program itu diperkenalkan.
"Ia berikutan peningkatan kuasa beli melalui pemberian kad KIDA telah memberikan perubahan positif terhadap pertumbuhan sosioekonomi setempat.
"Antaranya, pemberian kad KIDA kepada penerima-penerima di Pulau Tuba, Langkawi telah memberi keuntungan kepada perniagaan Kedai Runcit Kak Da yang merupakan kedai runcit panel tunggal dilantik di pulau itu.
"Peningkatan kuasa beli dalam kalangan penerima kad KIDA di pulau berkenaan telah meningkatkan hasil jualan di kedai runcit itu, sekali gus dapat mewujudkan kesan limpahan dengan menyediakan peluang pekerjaan dalam komuniti setempat,” katanya.
Beliau berkata, klinik panel KIDA seperti Poliklinik Dr Azhar dan Rakan-Rakan, Klinik Mesra di Alor Setar dan Poliklinik Dr Rosnani di Jeniang juga turut dapat menikmati peningkatan pendapatan bulanan melalui program itu.
"Manfaat lain yang turut diperoleh penerima KIDA adalah penerima dan tanggungan mereka juga berpeluang untuk meningkatkan taraf ekonomi mereka melalui integrasi bersama program modal insan NCER seperti empowerNCER-Latihan Kemahiran dan Keusahawanan, JomNiaga@NCER dan empowerNCER-Akademik.
"Setakat ini, seramai 169 orang penerima KIDA telah menikmati manfaat menyertai program empowerNCER dan telah berjaya menjana pendapatan mereka sendiri,” katanya.
Jelas beliau lagi, salah seorang anak penerima KIDA di daerah Baling, Mohd Nur Zaffan Mohd Yusof, 25, kini berjaya meraih pendapatan melebihi 10 kali ganda melalui integrasi bersama program modal insan empowerNCER, sekali gus telah berjaya mengubah taraf ekonomi keluarga mereka.
Nur Zaffan mengusahakan perniagaan makanan, Gerai Nasi Pandan Ayam Menangis di Batu 42, Baling dan telah memperoleh lesen daripada pihak berkuasa tempatan (PBT).
Menurut Issace John, bagi memastikan pembasmian kemiskinan dapat ditangani secara holistik dan inklusif, 100 anak-anak keluarga peserta KIDA yang menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) diberi program tuisyen khas dan program pembangunan diri.