SHAH ALAM - Kanak-kanak lelaki berusia 22 bulan yang mengalami pendarahan dalaman pada otak selepas terjatuh dari bangunan tinjau di Taman Rekreasi Wetland Setia Alam kini mulai sedar.
Ibu saudaranya, Huda Mahmud, 42, memaklumkan, Zaid Harith sudah mula menunjukkan tanda positif dan dipindahkan ke wad kanak-kanak biasa di Hospital Kuala Lumpur (HKL) pada petang Rabu.
Menurutnya, perkembangan terbaharu anak saudaranya itu diperoleh menerusi perkongsian status adik iparnya, Nazrah Abdul Aziz dalam album Zaid bin Harith di laman sosial Facebook.
"Ibunya (Nazrah) juga baru dibenarkan melawat buat kali pertama pada petang Rabu selepas hanya dapat mengikuti perkembangan Zaid menerusi maklumat disampaikan oleh doktor," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada malam Rabu.
Sementara itu, Nazrah dalam hantaran Facebooknya pada awal pagi Khamis memaklumkan, beliau bukan sahaja dapat berjumpa anaknya itu malah dapat memeluk dan mendukung Zaid.
"Cuma Zaid masih 'mamai' lagi sebab tiga hari masuk ubat tidur.
"Zaid minum susu melalui tiub di hidung. Mama belum dapat beri susu direct lagi. Nurse kata boleh bagi susu badan melalui tiub tapi tak bawa pula 'breast pump'," kata Nazrah menerusi laman sosialnya itu.
Tambah Nazrah, anaknya itu kini diberikan minum susu dengan menggunakan tiub sebanyak enam kali sehari iaitu tiga jam sekali bagi setiap sesi.
Dalam kejadian pagi Ahad, anak bongsu daripada empat beradik itu dipercayai terjatuh dari aras dua bangunan tinjau di Taman Rekreasi Wetland Setia Alam akibat lantai kayu patah.
Zaid yang mengalami kecederaan pada bahagian dalaman otaknya itu dikejarkan ke hospital dan terpaksa ditidurkan sepenuhnya untuk mengelak kecederaan yang lebih serius.
Berikutan kejadian menimpa Zaid di kawasan rekreasi itu, pihak Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) menzahirkan rasa simpati terhadap insiden yang menimpa kanak-kanak berusia 22 bulan itu.
MBSA dalam kenyataannya turut memaklumkan telah membuat semakan segera dan mendapati bangunan tinjau Taman Rekreasi Wetland Setia Alam adalah di bawah pengurusan pemaju Bandar Setia Alam.
ARTIKEL BERKAITAN:Kanak-kanak jatuh bangunan tinjau kini ditidurkan