TAWAU - Peristiwa serangan berdarah yang berlaku di Kalabakan pada 29 Disember 1963 meninggalkan kesan mendalam kepada rakyat negeri Sabah khasnya kepada setiap pejuang yang terlibat langsung dalam kejadian tersebut.
Seorang bekas pejuang yang terlibat langsung dalam peristiwa itu mengongsikan pengalaman pahit yang dilaluinya ketika itu.
Mail@Gading Malonti, anak jati Tawau, dilahirkan pada 24 oktober 1941, mula menyertai pasukan Polis Hutan dan menjalani latihan kepolisan di Pusat Latihan Sungai Besi, Kuala Lumpur sebelum dihantar bertugas di Bukit Siol, Sarawak pada Jun 1962.
Pada 25 Disember 1963, Mail ditugaskan di kawasan Kalabakan, di bawah unit Askar Melayu sebagai penunjuk jalan berikutan kepakarannya memahami dan mengetahui bentuk muka bumi dan geografi bahagian pantai timur Sabah, khasnya di Kalabakan.
Beberapa hari selepas dia tiba di Kalabakan, pada petang 29 Disember 1963, sebelum kejadian serangan, dia dipanggil oleh Mejar Zainol Abidin Yaacob ke kediamannya tidak berapa jauh dari Balai Polis Kalabakan ketika itu, untuk diberi taklimat.
"Sebelum jam 6 petang, saya dipanggil oleh Allayarham Mejar Zainol Abidin, kemudian dia bagi taklimat mahu ke Serudung membawa Askar Melayu.
"Pada masa itu azan terdengar, menurut keterangan imam masjid, baru dua rakaat berlaku kejadian tembak menembak itu," katanya.
Dikejutkan dengan bunyi tembakan itu, dirinya bersama Mejar Zainol dan Lans Koperal Ismail Mat bergegas ke lokasi serangan iaitu di Balai Polis Kalabakan untuk memberikan bantuan.
"Masa itu Lans Koperal Ismail, Mejar Zainol dan saya berjalan menuju ke lokasi tembakan dan kami terus terkena tembakan menyebabkan dua maut iaitu Mejar Zainol dan Lans Koperal Ismail.
"Ketika itu saya teringat apa yang dipelajari ketika seorang rekrut berkenaan keselamatan, jadi saya baring dan bergolek sehingga sampai ke kubu untuk menyelamatkan diri," katanya.
Susulan serangan itu, lapan anggota keselamatan didapati gugur dalam kejadian berkenaan.
"Jadi malam itu sebenarnya lapan orang gugur, keesokan harinya kami ditugaskan di kubu untuk mengawal jenazah tersebut sebelum dibawa ke Tawau pada keesokan harinya," katanya.
Peristiwa Kalabakan berlaku apabila Tentera Nasional Indonesia (TNI) menyerang berek pos kawalan tentera dan balai polis di Kalabakan, yang mengorbankan lapan anggota tentera dan mencederakan 18 lagi, ketika waktu Isyak pada 29 Disember 1963.
Menurut Mail, peristiwa itu tidak mematahkan semangatnya untuk terus berkhidmat sebagai anggota Polis Hutan sehingga dia bersara pada tahun 1981.
Katanya walaupun dia kini sudah berumur 80 tahun, namun demi mempertahankan kedaulatan negara dia masih mampu untuk mengangkat senjata sekiranya diperlukan.
Walaupun dirinya merupakan pejuang yang tidak didendang dan tidak pernah menerima sebarang pingat namun semangat yang dimiliki amat tinggi demi mempertahankan kedaulatan negara dan negeri Sabah khasnya.
"Sebenarnya bagi diri saya ini, walaupun begini, umur pun sudah melebihi, kalau ada pihak minta bantu dengan tenaga, sekalipun dengan tenaga, saya masih boleh lagi," katanya.
Bagi menerapkan sikap patriotik dan sayangkan negara khasnya kepada golongan muda kini, Mail berpesan jangan lalai dengan kemudahan yang terdapat ketika ini.
"Tidak perlu bertanya kepada sesiapa, tanya kepada mata kamu sendiri, tengok askar itu apa maksudnya, polis itu apa maksudnya, itu untuk menerangi jiwa kita macam mana kecintaan kita kepada negara.
"Jadi saya bilang, jangan kamu lalai main permainan video, itu semua tidak berguna," katanya.
Setiap tahun juga pada 16 September, iaitu pada Hari Malaysia, Mail akan melawat tugu peringatan yang ada di Kalabakan, bagi mengenang kembali peristiwa yang meragut nyawa lapan rakan setugasnya dalam peristiwa serangan berdarah Kalabakan. - Awani