Ujian Covid-19 sebelum ke Langkawi demi keselamatan semua

Iklan
Muhammad Sanusi (dua dari kiri) bersama Nancy (kiri) pada majlis pelancaran pembukaan semula Langkawi sebagai destinasi rintis pelancongan domestik di Langkawi pada malam Rabu.

LANGKAWI - Keputusan kerajaan mewajibkan pelancong menjalani ujian pengesanan Covid-19 sebelum dibenarkan masuk ke Pulau Langkawi adalah untuk memastikan keselamatan semua pihak.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, langkah itu diambil bagi mengelak berlakunya jangkitan dan peningkatan kes Covid-19 di pulau itu disebabkan kehadiran pelancong.

Iklan
Iklan

Katanya, ini juga bertujuan untuk memastikan projek rintis gelembung pelancongan di pulau legenda itu berjaya dan menjadi tanda aras bagi pembukaan lebih banyak destinasi pelancongan lain.

"Jika berlaku peningkatan kes Covid-19, terdapat kemungkinan tindakan drastik diambil termasuk menutup kembali Langkawi kepada pelancong bagi mengekang penularan," katanya pada sidang akhbar selepas majlis pelancaran pembukaan semula Langkawi sebagai destinasi rintis pelancongan domestik, di sini, malam Rabu.

Iklan

Majlis dirasmikan Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor.

Dalam perkembangan sama, Nancy berkata, tempoh dua minggu pertama sangat penting dalam menentukan kejayaan projek rintis gelembung pelancongan di Langkawi.

Iklan

"Dalam tempoh dua minggu ini kita akan memantau jika berlaku peningkatan kes Covid-19 di Langkawi dan ia akan dijadikan tanda aras bagi menentukan sama ada destinasi pelancongan lain dapat dibuka.

"Kita harap tidak ada kes serius berlaku dalam kalangan pelancong dan penduduk tempatan sepanjang tempoh berkenaan bagi membolehkan ekonomi Langkawi kembali pulih,” katanya.

Sementara itu, Sanusi berkata, pelancong yang masuk ke Langkawi pada hari pertama sempena projek rintis itu tidak perlu bimbang kerana ujian pengesanan akan dibuat secara percuma di lapangan terbang dan terminal feri.

Bagaimanapun, pihaknya belum menentukan sama ada ujian pengesanan secara percuma itu akan diteruskan kerana ia membabitkan kos yang perlu ditanggung Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Pada Rabu, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar memaklumkan, pelancong yang akan ke Langkawi bermula Khamis perlu menjalani ujian pengesanan Covid-19 sebelum memulakan perjalanan.

Khairy berkata, ujian saringan mesti dilakukan oleh individu dewasa berumur 18 tahun ke atas dan kanak-kanak serta remaja berusia antara tujuh hingga 17 tahun.