Maqis rampas lebih satu tan serpihan kayu dari China

Iklan
Kotak serpihan kayu untuk alas haiwan peliharaan yang dimuatkan di dalam sebuah kontena dirampas kerana gagal mematuhi syarat import ketika dibawa masuk melalui Pelabuhan Kuantan pada Rabu.

KUANTAN- Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) merampas lebih satu tan serpihan kayu untuk alas haiwan peliharaan dari China yang dibawa masuk melalui Pelabuhan Kuantan pada Rabu.

Serpihan kayu yang dianggarkan bernilai RM2,161 yang dimuatkan di dalam sebuah kontena itu dirampas kerana gagal mematuhi syarat import.

Iklan
Iklan

Maqis dalam kenyataannya pada Khamis berkata, barang dagangan itu ditahan ketika pemeriksaan rutin setelah pihak terlibat gagal mengemukakan sijil fitosanitasi kepada pegawai pemeriksa sebagaimana disyaratkan dalam permit import yang diluluskan.

"Kes akan disiasat mengikut Seksyen 15(1) Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 [Akta 728].

Iklan

"Jika disabitkan kesalahan, pihak terlibat boleh didenda mengikut Seksyen 15(2) akta yang sama iaitu denda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi enam tahun atau kedua-duanya sekali.

"Bagi kesalahan kedua dan berikutnya, denda tidak melebihi RM150,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tujuh tahun atau kedua-duanya sekali," jelas kenyataan itu.

Iklan

Tambah Maqis, pihaknya akan terus memperketatkan kawalan sempadan dan tidak akan berkompromi ke atas biosekuriti barangan yang dibawa masuk dari luar negara bagi memastikan komoditi pertanian mematuhi syarat serta peraturan yang ditetapkan kerajaan.