Anak dikhuatiri lemas ketika kereta diparkir tepi sungai

Iklan
Seorang kanak-kanak berusia setahun lapan bulan dikhuatiri lemas selepas dipercayai keluar dari kereta bapanya yang diparkir berhampiran sungai. Foto: Ihsan pembaca.

KUANTAN - Seorang kanak-kanak berusia setahun lapan bulan dikhuatiri lemas selepas dipercayai keluar dari kereta bapanya yang diparkir berhampiran sungai Felda Jengka 4, dekat Maran pada tengah hari Rabu.

Ketua Polis Daerah Maran, Deputi Superintendan Norzamri Abd Rahman berkata, Muhammad Abdullah Saiful Bahari disedari tiada di tempat duduk kereta tersebut pada 1 tengah hari, iaitu kira-kira 15 minit selepas bapanya meninggalkan dia berseorangan di situ.

Iklan
Iklan

"Bapa mangsa (Muhammad Abdullah) mendakwa meninggalkan mangsa di dalam kereta dengan keadaan pintu terbuka. Sebaik sahaja menyedari mangsa tiada, bapa mangsa telah bertanya kepada kakak dan abang mangsa yang berusia enam serta lapan tahun, namun mereka juga tidak menyedari bila mangsa berjalan keluar dari kereta.

"Mereka cuba mencari mangsa di kawasan berhampiran sebelum bapa mangsa mendakwa menjumpai kesan tapak kaki kanak-kanak di tepi sungai menyebabkan bapa mangsa mengesyaki anaknya terjatuh di situ," katanya semasa dihubungi pada Khamis.

Iklan

Norzamri berkata, sungai itu terletak di dalam ladang kelapa sawit, kira-kira tiga kilometer dari jalan utama.

Beliau berkata, bapa mangsa kemudian meminta bantuan orang kampung untuk mencari anaknya di sungai sebelum pihak polis dimaklumkan mengenai kejadian pada 4 petang.

Iklan

Operasi mencari dan menyelamat (SAR) dijalankan pada petang Rabu melibatkan polis, bomba dan Jabatan Sukarelawan Malaysia, namun dihentikan pada 8 malam kerana cuaca mulai gelap.

"Operasi SAR bersambung pagi ini dengan melibatkan anjing pengesan untuk mencari jejak akhir mangsa sama ada di sungai atau di hutan berhampiran," katanya. - Bernama