LIGA Bola Sepak Malaysia (MFL) menaruh harapan saingan Piala Malaysia yang akan bermula 25 September ini akan diserikan dengan kehadiran penonton di stadium.
Presidennya, Datuk Ab Ghani Hassan berharap permohonan MFL untuk mendapat kebenaran kehadiran penyokong ke stadium diberi pertimbangan sebaiknya selepas pengumuman kelonggaran baharu oleh kerajaan bagi sektor sosial dan sukan.
Sempena Piala Malaysia menyambut ulang tahun ke-100 penganjurannya musim ini, Ab Ghani menyifatkan kehadiran semula penonton di stadium akan menjadikan kejohanan yang mempunyai nilai cukup tinggi dalam sejarah bola sepak negara itu lebih bermakna.
"Pastinya sesuatu yang menarik jika penyokong-penyokong dibenarkan masuk ke stadium dengan kapasiti tertentu serta SOP (prosedur operasi standard) yang ketat," katanya dalam ucapan sempena sambutan Hari Malaysia 2021 di laman Facebook MFL, pada Khamis.
Pada Rabu, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan Mesyuarat Jawatankuasa Khas Pengurusan Pandemik bersetuju memberi kelonggaran baharu bagi aktiviti sukan dan rekreasi di negeri Fasa Dua dan Fasa Tiga Pelan Pemulihan Negara (PPN) berkuat kuasa 17 September.
Perdana Menteri berkata, aktiviti sukan dan rekreasi termasuk aktiviti berpasukan bersentuhan fizikal seperti bola sepak, bola tampar, sepak takraw dibenarkan mengikut kapasiti penuh sukan tersebut dan terhad bagi individu yang telah lengkap vaksin Covid-19 serta berlangsung di premis yang mempunyai kawalan penyeliaan sepenuhnya.
Sementara itu, Ab Ghani percaya peningkatan jumlah rakyat yang telah lengkap vaksinasi dapat memberikan impak positif dalam masa terdekat, namun bersetuju setiap individu perlu terus berdisiplin mematuhi SOP ditetapkan.
Menyentuh mengenai sambutan Hari Malaysia, Ab Ghani berkata, sukan bola sepak adalah antara ejen perpaduan rakyat apabila segenap lapisan masyarakat akan bersama-sama memberikan sokongan kepada pasukan tersayang.
"Akhir kata, jadilah rakyat yang prihatin demi Malaysia dan seperti sukan bola sepak yang mementingkan kerjasama berpasukan, marilah bersama-sama kita bersatu dalam usaha menghapuskan rantaian pandemik Covid-19," kata Ab Ghani. - Bernama