KUALA SELANGOR - Suasana di Pantai Remis Jeram di sini sesak dibanjiri ribuan pengunjung yang mula memenuhi kawasan tepi pantai dan beberapa premis makanan sempena cuti umum Hari Malaysia pada Khamis.
Tinjauan Sinar Harian sejak jam 10.30 pagi mendapati, terdapat ratusan kereta keluar masuk ke pantai berkenaan.
Rata-rata penduduk mengambil kesempatan untuk berkelah, mandi-manda di tepi pantai, berkhemah sambil makan dan berbeku bersama keluarga selain mengunjungi beberapa premis kedai makan.
Seorang pengunjung, Ahmad Sidek Tugimin, 47, berkata, dia ke pantai itu bersama lima lagi rakannya yang berkonvoi dengan motosikal dari Rawang, Selangor.
Menurutnya, walaupun keadaan di pantai itu sesak dengan pengunjung tetapi dia bersama rakan-rakannya masih memandang serius terhadap pematuhan prosedur operasi standard (SOP).
"Pematuhan SOP tetap diutamakan dengan memilih kedai makan yang kurang sesak selain mengutamakan penjarakan fizikal.
"Pada minggu lalu, saya ke Pantai Morib, Banting dan keadaan sama (sesak) turut berlaku di sana," katanya yang berkonvoi sejauh 45 kilometer.
Ahmad Sidek berkata, pantai pelancongan di Selangor menjadi tumpuan berikutan rakyat di negeri ini hanya dibenarkan untuk merentas daerah sahaja.
"Penduduk di Lembah Klang tiada pilihan hendak ke mana melainkan ke tempat rekreasi di dalam negeri Selangor sahaja.
"Biasanya mereka boleh ke Pantai Port Dickson, Negeri Sembilan tetapi disebabkan tidak boleh merentas negeri, maka beberapa kawasan pelancongan di Selangor menjadi pilihan," jelasnya.
Seorang lagi pengunjung, Rahman Othman, 59, berkata, peluang cuti umum digunakan sepenuhnya untuk berkelah bersama anak-anak.
Katanya, sebelum ini terdapat kekangan apabila tidak dapat berkumpul dan bertemu dengan anak-anak berikutan pelaksanaan PPN fasa pertama.
"Lebih tiga bulan tidak dapat bersua muka termasuklah pada Hari Raya Aidilfitri dan Aidiladha melainkan hanya melalui panggilan video.
"Jadi dengan adanya kelonggaran ini kami dapat berkumpul dan berkelah bersama-sama tetapi tetap mengutamakan SOP bagi mengekang penularan Covid-19," katanya.
Seorang peniaga makanan, Zarina Mahmud, 39 berkata, kehadiran pengunjung ke kedai makannya dianggap luar biasa memandangkan jumlah pelanggan melebihi daripada kebiasaan sebelum pelaksanaan PKP pada Mac tahun lalu.
Katanya, terdapat lebih 1,000 pengunjung singgah ke kedai makannya pada hujung minggu lalu dan keadaan sama juga berlaku pada Khamis.
"Saya tidak pernah terima kehadiran begitu ramai pengunjung yang singgah ke kedai makan hingga tidak menang tangan.
"Saya anggap ini adalah rezeki selepas kami terputus mata pencarian apabila pantai ini lengang tanpa pelanggan sejak lebih tiga bulan lalu," katanya.
Bagaimanapun, katanya, semua pengunjung yang ingin singgah di kedai makannya perlu mematuhi SOP ditetapkan.
"Kami hanya membenarkan mereka yang lengkap dua dos dan melebihi 14 hari sahaja masuk ke dalam kedai makan selain memastikan penjarakan fizikal diberi keutamaan," ujarnya.
Seorang peniaga kambing perap, Mohd Kamil Bakri, 31 berkata, kehadiran pengunjung yang ramai di pantai itu turut menjana pendapatan tambahan peniaga di sini.
Menurutnya, perniagaan kambing perap yang diusahakan bersama isterinya, Nur Shafizal Fatihah, 29, turut mendapat sambutan menerusi konsep 'Car Boot Sale'.
"Saya dan isteri bergilir-gilir menjual kambing perap di Pantai Morib dan Pantai Remis, Alhamdulilah semua jualan kami habis dijual.
"Ramai keluarga berkelah dan babeku di pantai dan mereka lebih mudah untuk mendapatkan kambing perap untuk menikmatinya bersama keluarga," katanya.
Jelas Mohd Kamil, jualan secara terus kepada pelanggan lebih menguntungkan kerana sebelum ini dia hanya memberi tumpuan jualan secara dalam talian.
"Saya akui jualan secara dalam talian kurang memberangsangkan dan dengan kebanjiran pengunjung di pantai ini jualan kami turut meningkat," katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintendan Ramli Kasa berkata, pihaknya akan sentiasa membuat pemantauan di kawasan tumpuan pengunjung berkenaan dari masa ke masa.
"Ini sejajar dengan peralihan fasa dua yang memberi kelonggaran kepada orang ramai untuk merentas daerah.
"Tindakan pemantauan dan pematuhan SOP akan diperketatkan selain memastikan pengunjung mematuhi penjarakan fizikal dan hanya membenarkan mereka yang lengkap divaksin sahaja dibenarkan merentas daerah," katanya.