Penglibatan anak muda dalam politik perlu diperluas

Iklan
Tharma Pillai (bawah) semasa program Youth Forum 2021 yang bertajuk Peranan dan Tanggungjawab Belia untuk Negara.

SHAH ALAM - Penglibatan anak muda yang semakin meningkat dalam arena politik negara merupakan satu perkara positif dan perlu dikembangkan dengan lebih meluas lagi.

Pengarah Advokasi dan Pengasas Bersama Undi18, Tharma Pillai berkata, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) juga berusaha dengan membuat kajian berkaitan tahap kecaknaan pelajar di sekolah berkaitan politik.

Iklan
Iklan

Menurutnya, perkembangan itu disifatkan hasil daripada gesaan yang dilakukan oleh ramai pihak untuk menurunkan had umur mengundi daripada 21 tahun kepada 18 tahun.

"Apabila kita tekankan berkaitan Undi 18 ini, kita nampak kesan yang jelas. Antaranya kepada sistem pendidikan negara yang secara tidak langsung membantu pelajar cakna terhadap isu politik.

Iklan

"Kita akan lihat hasilnya pada lima sehingga 10 tahun akan datang. Kita juga jangan anggap perkara ini telah selesai sebaliknya kita masih perlu tekankan lagi,” katanya semasa program Youth Forum 2021 yang bertajuk Peranan dan Tanggungjawab Belia untuk Negara pada Khamis.

Mengulas lanjut, Tharma menjelaskan, golongan belia perlu lebih bersedia dan mengambil tahu berkaitan dengan politik semasa negara kerana sebanyak 7.8 juta pengundi pada tahun 2023 adalah daripada golongan tersebut.

Iklan

Menurutnya, anak muda mempunyai perbezaan berbanding golongan yang lebih berusia dari segi kerterbukaan untuk mengundi ahli politik yang berbeza kaum dan kurang setia pada parti politik.

"Maka, kalau anda orang UMNO atau DAP, anda boleh kritik pemimpin sendiri. Ini perkara yang bagus. Walaupun secara asas banyak persamaan dari segi corak pengundian berasaskan kepada agama, kaum dan geografi,” ujarnya.

Beliau berkata, lebih ramai anak muda diperlukan dalam menegakkan pendirian atau memberi cadangan berkaitan isu politik negara memandangkan idea yang dibawa mereka adalah satu idea baharu dan berbeza-beza.

"Apa yang kita perjuangkan terutama Undi 18 ini adalah membuka satu ruang baharu di mana anak muda boleh berbincang, berdebat dan memahami politik dengan selamat.

"Inilah ruang yang bagus kerana kita boleh bincang secara selamat dengan kawan-kawan sebagai wakil anak muda,” katanya.

Beliau turut mengharapkan agar anak muda di luar banda turut mengambil peluang dan melibatkan diri apabila Undi 18 berjaya dilaksanakan.

"Mereka tidak menyedari bahawa pengundi anak muda luar bandar lebih berkuasa jika dibandingkan belia di bandar. Ini kerana bilangan undian mereka adalah jauh lebih besar.

"Sebab itu parti politik, pertubuhan bukan kerajaan perlu lakukan program bersama masyarakat di luar bandar untuk pastikan mereka sedar bahawa kuasa politik yang mereka ada dan menjadi kerangka politik negara,” ujarnya.