KUALA LUMPUR - Aktivis sosial, Adam Adli Abdul Halim antara 20 aktivis anak muda yang mengumumkan menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR).
Selain Adam, dua lagi yang hadir menyerahkan borang menyertai PKR hari ini ialah aktivis bebas, Sarah Hadi dan peguam, Asheeq Ali Sethi Alivi.
Penyertaan itu diumumkan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam sidang media yang turut dihadiri Ketua Angkatan Muda Keadilan, Akmal Nasir di ibu pejabat parti itu.
Dalam ucapannya Anwar berkata, kumpulan aktivis itu sebagai kalangan yang mempunyai idealisme dan komited dalam perjuangan.
"Apabila Adam, Asheeq dan beberapa teman mereka menemui saya, saya berasa bangga. (PKR kini dianggotai) kalangan aktivis muda yang terkenal dengan idealisme, komitmen dan perjuangan mereka.
"Mereka bukan anggota rasmi PKR (sebelum ini) tetapi penggerak reformasi rakyat," katanya dalam sidang media.
Adam bermula sebagai aktivis pelajar ketika menuntut di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dan mula mengundang perhatian kira-kira 10 tahun lalu, apabila bersama beberapa beberapa aktivis pelajar lain mengadakan tunjuk perasaan berhubung penempatan bakal guru.
Manakala Asheeq pula bermula sebagai aktivis pelajar ketika di Universiti Kebangsaan Malaysia antara yang mengetuai tunjuk perasaan yang dinamakan TangkapMO1 pada 2016, yang dianjurkan berikutan pemfailan oleh Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DoJ) yang menyatakan"Malaysian Official 1" telah menerima AS$731 juta daripada1MDB.
Bagaimanapun tambah Anwar, penyertaan itu tidak bermakna mereka akan ditampilkan sebagai calon dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
"Penyertaan muda (aktivis) dan wanita itu tinggi dan kalau kita lihat sejarah Keadilan sejak awal antara parti yang banyak tonjolkan tokoh-tokoh muda di Parlimen, Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Ahli Majlis.
"Pendirian kita masih kekal akhirnya kita pilih calon terbaik kalau dia orang muda ada pengalaman dan juga wanita bagi saya lebih penting itu anak muda sekarang ramai yang tunjuk keupayaan dan kelayakan,” katanya.
Katanya lagi, walaupun senarai nama diusulkan pimpinan parti di peringkat negeri, namun terdapat saringan akan dilakukan terlebih dahulu.
Sebelum ini Setiausaha Agung PKR Datuk Seri Saifuddin Nasution memaklumkan parti itu sudah menerima hampir 90 peratus senarai nama calon untuk PRU-15. - Awani