AADK saran ketatkan syarat pengambilan pemandu bas

Iklan
Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK)

KUALA LUMPUR - Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) menyarankan pengusaha bas ekspres dan bas persiaran tempatan memperketatkan syarat pengambilan pemandu bas dengan mewajibkan calon menjalani ujian saringan air kencing sebelum diambil bekerja.

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) AADK Datuk Izhar Abu Talib berkata langkah tersebut sebagai usaha menangani bilangan pemandu bas yang terlibat dengan aktiviti penagihan dadah sekali gus memberi impak kepada nyawa penumpang.

Iklan
Iklan

"Pengusaha bas perlu memandang serius perkara ini dan memastikan pemandu yang baru diambil bekerja perlulah bebas daripada dadah.

"Pemeriksaan berkala juga wajar dilaksanakan dan sekiranya didapati positif, tindakan buang kerja mesti dilaksanakan,” katanya kepada Bernama.

Iklan

Izhar berkata, pengusaha bas perlu meletakkan aspek keselamatan pemandu dan penumpang sebagai keutamaan berbanding keuntungan.

Beliau menjelaskan penglibatan pemandu bas dengan penyalahgunaan dadah masih terkawal namun pihaknya tidak mengambil mudah perkara tersebut dan sering menjalin kerjasama dengan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) untuk mengadakan program kesedaran.

Iklan

Menurutnya, statistik yang diterima berhubung penyalahgunaan dadah dalam kalangan pemandu bas pada operasi ketika Tahun Baharu Cina tahun lepas menunjukkan peningkatan iaitu 14 orang positif dadah berbanding tujuh orang tahun lepas.

Izhar berkata, dadah jenis methamphetamine seperti syabu sering menjadi pilihan kerana kesan penggunaannya yang dapat meningkatkan tenaga selain mudah didapati dengan harga berpatutan.

Katanya, antara faktor yang menyebabkan pemandu bas terbabit dengan najis dadah ialah persekitaran pekerjaan, pengaruh rakan sekerja yang menagih, tekanan kerja dan sejarah penagihan lampau.

Menurutnya, Program Tempat Kerja Bebas Dadah (TEKAD) yang diwujudkan sejak 2010 mampu mengurangkan gejala penagihan dadah dalam kalangan pekerja melalui program pendidikan pencegahan kepada pekerja secara berterusan dan menjalankan ujian saringan air kencing secara berkala.

"Ini boleh meningkatkan faktor pelindung dalam kalangan pekerja namun bagi memastikan persekitaran yang sentiasa selamat, program pendidikan pencegahan yang berterusan mampu mendidik pekerja lebih peka terhadap ancaman dadah,” katanya. - Bernama