TBPR pertaruh Saiful dalam misi perkukuh cengkaman

Iklan
Saiful

PASUKAN Tune Boss Pink Racing (TBPR) terus mengorak langkah apabila membawa masuk pelumba baharu, Saiful Azhary dalam misi untuk mengukuhkan lagi cengkaman pasukan pada kejuaraan Petronas Cub Prix Malaysia musim ini.

Saiful, 21 tahun yang berasal dari Johor akan beraksi dalam kategori CP125 bersama-sama dua lagi pelumba sedia ada, Siti Norafizah Moahamd dan juga Mohd Harith Farhan Baharin.

Iklan
Iklan

Dengan kehadiran Saiful dalam pasukan TBPR, mereka kini mempunyai tiga pelumba bagi menggalas cabaran dalam kelas CP125, kategori yang baharu diperkenalkan musim ini bagi menggantikan kelas CP115.

Saiful yang merupakan adik kepada Norafizah atau Fifi, mula aktif dalam sukan permotoran pada tahun 2005 dengan pembabitan awalnya menjinakkan diri dengan pocket bike.

Iklan

Dia telah beraksi dalam kejuaraan minibike itu sehingga tahun 2012 sebelum meneruskan kariernya ke kejuaraan Cub Prix Malaysia.

Sepanjang pembabitannya dalam sukan permotoran, Saiful pernah muncul juara keseluruhan kategori Honda Future One Make Race pada musim 2014 selain bergelar naib juara keseluruhan kategori Wira pada tahun 2015.

Iklan

Ketika sesi ringkas bagi mengumumkan penyertaan Siaful dengan pasukan Tune Boss Pink Racing malam tadi, pelumba asal Johor itu menjelaskan bahawa matlamatnya adalah untuk mencari pengalaman baharu dalam kariernya.

"Semua pasukan mempunyai kelebihan tersendiri tetapi keputusan untuk menyertai TBPR adalah disebabkan kemajuan yang telah dibuktikan oleh mereka. Walaupun pasukan ini baru, tetapi mereka telah menunjukkan konsistensi dalam setiap pusingan. Ini antara faktor yang menarik perhatian saya.

"Selain itu, gaya pengurusan pasukan ini juga amat teliti dalam segala hal,” jelas Saiful yang sudah mempunyai pengalaman tiga tahun beraksi dalam Cub Prix.

Dia yakin, kehadirannya dalam pasukan TBPR akan memberi pengalaman baharu kepadanya dalam usaha untuk terus memantapkan kariernya.

Dalam perkembangan sama, pemilik serta pengurusan pasukan TBPR, Nur Atikah Azwar menjelaskan bahawa mereka ada misi tersendiri untuk menambah anggota dalam pasukan bagi menghadapi baki saingan Cub Prix musim ini.

"Ini mungkin strategi pasukan, malah ia sudah lama dirancang. Pemilihan Saiful untuk menjadi anggota pasukan melepasi beberapa kriteria ditetapkan. Ia bukan soal ‘main pilih’ saja, tetapi telah melalui beberapa penilaian baik dari segi prestasi, disiplin, komitmen dan juga personaliti pelumba itu sendiri,” jelas Nur Atikah yang amat mementingkan semangat kekeluargaan dalam pasukan miliknya itu.

Minggu ini, TBPR akan kembali ke gelanggang bagi meneruskan saingan Pusingan 3 dan 4 kejuaraan Petronas Cub Prix Malaysia yang akan berlangsung di Litar Sepang Utara.

Kejuaraan ini ditangguhkan sejak Mei tahun ini ekoran situasi pandemik Covid-19 yang semakin memburuk di seluruh negara.

TBPR kini berada di kedudukan keempat keseluruhan bagi kategori berpasukan dengan mengumpul 33 mata selepas mengharungi dua pusingan setakat ini, dan ia dianggap pencapaian membanggakan bagi pasukan yang baharu membuat kemunculan di kejuaraan berprestij itu.

Pelumbanya pula kini berada dalam kelompok 10 terbaik bagi kategori pelumba kelas CP125 yang menyaksikan Fifi menghuni tangga keenam keseluruhan dengan mengumpul 19 mata manakala Harith di kedudukan kesembilan dengan meraih 14 mata.