KKMM pastikan penduduk pedalaman Sabah peroleh akses internet

Iklan
Annuar menjawab soalan penyampai radio 
semasa melawat ke kompleks Bersepadu Kementerian Komunikasi dan Multimedia hari ini.
 - Foto Bernama

KOTA KINABALU - Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) akan memastikan setiap rakyat, khususnya di Sabah, mempunyai akses kepada kemudahan internet meskipun tinggal jauh di kawasan pedalaman.

Menterinya, Tan Sri Annuar Musa berkata, akses internet adalah hak bagi setiap individu, malah dalam keadaan situasi semasa internet amat penting bagi anak-anak yang sedang mengikuti Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).

Iklan
Iklan

"Kalau kemudahan lain dari segi bekalan air dan elektrik mahu disamakan seperti di Semenanjung mungkin agak perlahan sedikit, tetapi apabila berkaitan dengan internet, apa yang ada di Semenanjung mesti ada di Sabah,” katanya pada sidang media di sini pada Khamis.

Annuar sebelum itu melawat Kompleks Bersepadu Kementerian Komunikasi dan Multimedia di sini serta mengadakan pertemuan dengan Ketua-ketua Jabatan KKMM bagi negeri Sabah, yang turut dihadiri Ketua Setiausaha KKMM, Datuk Mohammad Mentek.

Iklan

Annuar berkata, untuk itu usaha meningkatkan jaringan internet di Sabah telah dilaksanakan seperti Pelan Jalinan Digital Negara (Jendela) yang memperuntukan sebanyak RM3.5 billion bagi negeri Sabah.

Beliau berkata, banyak perkara yang perlu dilaksanakan untuk memudahkan capaian internet kerana bentuk fizikal negeri Sabah yang berbeza dengan negeri-negeri lain, yang merupakan antara cabaran untuk melaksanakan usaha meningkatkan jaringan internet.

Iklan

Namun katanya, kerjasama semua pihak akan mampu melaksanakan tanggungjawab kepada rakyat agar jaringan internet di Sabah akan lebih bertambah baik di masa depan.

Sementara itu Annuar berkata, Pusat Internet 1Malaysia juga akan dijenamakan semula dengan fungsi baharu untuk dijadikan sebagai pusat digital ekonomi di setiap kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN).

"Saya sudah beritahu dengan Datuk Seri Bung Moktar Radin (Timbalan Ketua Menteri Sabah), mana-mana DUN kalau langsung tiada (pusat internet), automatik masuk tersenarai (bina pusat internet baharu) terus, sebab setiap DUN kena ada minimum satu, kalau ada dua tiga lagi elok,” katanya. - Bernama