KUALA LUMPUR - Meskipun tercedera akibat terkena tembakan semasa menyertai satu misi di dalam hutan, namun tiada satu pun perasaan menyesal dan ragu-ragu dengan apa yang telah berlaku.
Demikian cerita seorang perwira negara, Patrick Lee Kai Tong, 70-an, yang menyertai Angkatan Tentera Udara Diraja Malaysia lebih dua dekad bermula pada tahun 1966 sebelum menamatkan perkhidmatannya pada 1987.
Menurutnya, sewaktu bertugas beliau tidak mempunyai banyak masa untuk merasa takut terutamanya ketika terlibat dalam operasi menyelamat dari tahun 1970 hingga 1976.
"Saya menyertai pelbagai misi menyelamat di darat sepanjang tempoh perkhidmatan itu, namun tiada satu pun perasaan menyesal dan ragu-ragu dengan apa yang telah berlaku selama ini.
"Ini kerana saya berkhidmat untuk negara yang tercinta," katanya ketika dikunjungi Presiden Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan), Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai di Taman Melati, Setapak di sini pada Khamis.
Kunjungan Dominic sempena sambutan Hari Malaysia itu adalah sebagai mengenang dan menghargai jasa serta pengorbanan perwira negara dalam menjalankan tanggungjawab mereka sepanjang tempoh perkhidmatan mereka.
Seorang lagi perwira negara yang menerima kunjungan Presiden Gerakan itu ialah Mohd Khair Mokhtar, 64, anggota tentera yang menyertai Rejimen Semboyan Diraja Malaysia ketika berumur 20 tahun pada tahun 1977.
Mohd Khair yang lebih mesra dengan panggilan Pak Anjang berkata, rajimen itu bertanggungjawab dalam komunikasi taktikal, peperangan elektronik dan informasi serta maklumat peperangan.
"Pak Anjang pernah dipertanggungjawabkan dalam menyampaikan maklumat penting dalam satu misi (misi tidak dimaklumkan) pada tahun 1993 ketika membuat tinjuan menggunakan helikopter Nuri.
"Malah Pak Anjang tidak pernah menyesal menyertai Angkatan Tentera Malaysia kerana Pak Anjang suka akan cabaran dan disiplin, sebab itu Pak Anjang menjadi seorang askar," katanya.
Mengulas mengenai kunjungan itu, Pak Anjang berkata, usaha itu membuktikan pengorbanan petugas di barisan hadapan sepertinya dan Patrick masih diingati dan amat dihargai oleh pemimpin dan masyarakat.