GRS berharap siri rundingan Majlis Khas MA63 diteruskan segera

Iklan
Hajiji menandatangani buku khas sambutan Hari Malaysia 2021 di SICC, Kota Kinabalu hari ini.

KOTA KINABALU - Kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) berharap siri rundingan antara kerajaan Persekutuan dengan kerajaan Sabah dan Sarawak diteruskan segera melalui platform Majlis Khas Perjanjian Malaysia (MA63) yang dirintis di bawah pimpinan bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yasin.

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, kerajaan di bawah pimpinan GRS amat menghargai komitmen kerajaan meletakkkan MA63 sebagai antara teras dwi-partisan melalui memorandum persefahaman di peringkat Persekutuan.

Iklan
Iklan

"Atas semangat yang sama, Sabah berharap Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dapat meneruskan dan menyambung semula pada kadar segera siri rundingan antara Persekutuan dengan kerajaan Sabah dan Sarawak.

"Banyak kemajuan awal telah mula dicapai. Kita berkeyakinan tinggi, di bawah kebijaksanaan kepimpinan Perdana Menteri, kita akan dapat bersama-sama membawa nilai dan makna yang lebih besar.

Iklan

"Berteraskan semangat 'Keluarga Malaysia' merentasi wilayah, Insya-ALLAH, kita berusaha memenuhi kontrak sosial antara wilayah yang telah disepakati para pelopor awal tanah air di bawah MA63," katanya ketika berucap sempena sambutan Hari Malaysia di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini pada Khamis malam.

Beliau dalam pada itu turut mengulangi komitmennya sebagai ketua kerajaan bagi rakyat dan negeri Sabah akan mengemukakan jaminan untuk mengutarakan hak-hak negeri bukan hanya berkaitan tentang kepentingan negeri semata-mata.

Iklan

"Keprihatinan itu lahir atas rasa kecintaan dan kesetiaan kami kepada Persekutuan Malaysia, negara yang telah kita bentuk bersama-sama dan setelah 58 tahun, sesungguhnya hasrat kami adalah untuk melihat rakyat dan negeri Sabah diberikan pengiktirafan yang lebih signifikan dalam membawa Malaysia melangkah ke hadapan, membina negara yang jauh lebih makmur, aman, maju dan sentosa," katanya.

Sebelum itu, Hajiji memaklumkan bahawa kerajaan amat menghargai penat lelah dan pengorbanan petugas barisan hadapan yang bekerja keras, siang dan malam demi menjamin kesihatan, keselamatan dan kebajikan rakyat.

"Sebagai ahli kepada 'Keluarga Malaysia', tidak kira status dan kedudukan, kita perlu memainkan peranan masing-masing untuk membendung pandemik ini.

"Atas sebab itu, Sabah menyokong dan menghargai sepenuhnya inisiatif murni dan kesepakatan melalui Memorandum Persefahaman Transformasi dan Kestabilan Politik yang dimeterai baru-baru ini.

"Inilah antara komitmen dan peranan di pihak komuniti politik yang telah lama dinanti-nantikan di kala negara berhadapan dengan musibah Covid-19," katanya.

Tambah beliau lagi, di peringkat negeri, sejak dari awal pemimpin GRS telah bersepakat untuk meletakkan kepentingan rakyat dan negeri sebagai keutamaan.

"Komitmen kita adalah untuk menjayakan Hala Tuju Sabah Maju Jaya yang telah dilancarkan pada 29 Mac lalu.

"Mandat rakyat perlu ditunaikan sehabis baik, apatah lagi di kala menghadapi kemelut kesihatan awam luar biasa yang memberi kesan kepada ekonomi negeri dan kesejahteraan rakyat," katanya.