PETALING JAYA - Seorang penunggang motosikal maut akibat digilis selepas hilang kawalan dan terjatuh di hadapan sebuah lori di Jalan Sungai Buloh-Kepong berhampiran Susur Sri Damansara di sini pada pagi Rabu.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, pihaknya menerima laporan berkenaan kemalangan tersebut pada jam 10.20 pagi.
Iklan
Iklan
"Siasatan awal mendapati kemalangan berlaku semasa penunggang motosikal jenis Modenas Kriss melalui lokasi kejadian dalam keadaan sesak dan telah terlanggar bahagian belakang bucu kiri sebuah kereta jenis Perodua Myvi.
"Pelanggaran di lorong kanan itu menyebabkan mangsa terjatuh di tengah-tengah laluan sebuah lori jenis Hino yang berada di lorong tengah lalu digilis," katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Fakhrudin berkata, mangsa yang sedang dalam perjalanan ke tempat kerja dari rumahnya di Sungai Buloh itu disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
"Mayat dibawa ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk dibedah siasat dan siasatan lanjut masih dijalankan untuk mengenal pasti punca dan sebab kematian," katanya.
Sehubungan itu, beliau meminta saksi kejadian supaya hadir ke balai berdekatan atau berhubung terus dengan pegawai penyiasat trafik Inspektor Rozilah Hussin di talian 016-2679025 untuk membantu siasatan.