JOHOR BAHRU - Mangsa pencemaran bahan kimia di Kampung Baru Sri Aman, Seelong, Kempas di sini bercadang untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak yang bertanggungjawab dengan kejadian tersebut.
Rozina Ahmad, 46, berkata, dia dan kakaknya, Zalina Ahmad, 49, sedang berbincang dengan ahli keluarga untuk mendapatkan pandangan berhubung tindakan perlu diambil memandangkan pencemaran tersebut mengancam kesihatan dan mengganggu kehidupan mereka.
Menurut Rozina, dia masih tidak dapat melupakan detik cemas bersama kakaknya apabila mengalami sesak nafas sehingga pengsan dan terpaksa dikejarkan ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) dengan ambulans selepas terhidu bau bahan kimia tersebut.
Menceritakan kejadian, katanya, bau busuk seperti toksik itu mula dihidu pada jam 7 malam menyebabkan dia dan suami, Abd Rahim Md Taib, 47, mencari puncanya di dalam rumah.
"Kami cari punca baunya tapi tak jumpa. Suami saya kemudian buka pintu rumah menyebabkan bau busuk itu semakin kuat.
"Suami beritahu terdapat kepulan asap dan wap seperti kabus yang berbau busuk dari kawasan anak sungai di hadapan rumah kami yang terletak lebih kurang 30 meter jaraknya.
"Kakak saya kemudian membuka pintu rumah untuk menjenguk keadaan sekeliling dan mengalami sesak nafas, pening dan akhirnya pengsan,” katanya ketika ditemui di sini pada Khamis.
Rozina berkata, dalam keadaan kelam kabut itu, suaminya menghubungi pasukan bomba untuk meminta bantuan.
"Bau busuk yang semakin kuat juga menyebabkan saya mengalami batuk teruk dan muntah hampir 20 kali sebelum pengsan.
"Saya hanya tersedar ketika sedang dirawat doktor di hospital. Hasil pemeriksaan doktor mendapati bau kimia kuat itu turut melekat pada pakaian saya.
"Doktor kemudian membuat pemeriksaan darah selain memasukkan kamera ke dalam badan bagi memeriksa sama ada sisa kimia yang dihidu sudah memasuki badan disebabkan saya sukar bernafas,” katanya.
Rozina berkata, dia dan kakaknya dibenarkan pulang ke rumah pada petang Rabu, bagaimanapun dinasihatkan untuk segera mendapatkan rawatan sekiranya mengalami sesak nafas selepas ini.
"Syukur doktor sahkan bahan kimia itu tidak masuk dalam badan. Setakat ini, tekak saya masih rasa kering dan apabila minum, akan rasa pahit.
"Saya dan keluarga masih rasa cemas dan bimbang kerana rumah kami terletak dekat dengan tali air dan sungai yang menjadi lokasi pembuangan sisa kimia berbahaya itu mengalir,” ujarnya.