SEMALAM, tanggal 16 September (1963) merupakan detik bersejarah menyaksikan pembentukan Malaysia yang merdeka dan berdaulat.
Tarikh keramat ini amat signifikan kepada 32.75 juta rakyat Malaysia yang berbilang etnik, agama dan budaya tidak kira di Semenanjung, Sabah atau Sarawak.
Ini kerana pada tarikh itulah pemimpin dan rakyat di ketiga-tiga wilayah termasuk di Singapura bersetuju untuk hidup bersama sebagai sebuah negara dan bangsa.
Bagaimanapun, Singapura mengambil keputusan keluar dari Malaysia pada 9 Ogos 1965 dan menubuhkan republik.
Apa pun, Hari Malaysia sama penting dengan Hari Kebangsaan. Semangat kedua-duanya perlu kita ambil dalam mempelajari dan memahami ilmu sejarah.
Melaluinya, sedikit sebanyak kita dapat melihat bahawa sejarah itu suatu proses yang bersambungan.
Sejak pembentukan Malaysia, banyak peristiwa penting berlaku di negara ini. Ia termasuklah kisah kejayaan, tragedi, jenayah dan bencana.
Peristiwa-peristiwa ini akhirnya menjadi sebahagian daripada sejarah penting buat negara dan sangat memberi makna dalam kehidupan setiap rakyat.
Justeru, penubuhan Malaysia 58 tahun lalu perlu dijadikan tanda peringatan, kecintaan, kesedaran kepada semua masyarakat.
Malah, semangat tokoh dan pejuang negara generasi terdahulu perlu ditanamkan pada diri kita untuk dijadikan pengajaran.
Dengan itu, perpaduan, nasionalisme dan rasa sayang demi mempertahankan kedaulatan negara tercinta ini terus terpelihara dengan tidak kira bangsa, muda atau tua.
Bak kata pepatah, di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung.
Bumi Malaysia sewajibnya menjadi tanggungjawab keseluruhan rakyat.
Kita sebagai rakyat amat perlu memahat Hari Malaysia dalam hati dan menjadikannya sebagai hari sangat bermakna dalam jiwa, tidak kira di mana sahaja kita berada kerana hanya kita yang bertanggungjawab memakmurkannya.