SHAH ALAM - Rata-rata penduduk di Selangor memanfaatkan cuti umum sempena Hari Malaysia untuk berkunjung ke taman rekreasi yang menjadi lokasi tumpuan ramai.
Tinjauan Sinar Harian di Taman Tasik Shah Alam pada Khamis mendapati pengunjung datang bersama keluarga atau rakan-rakan sejak pagi untuk beriadah, berkelah, bersiar-siar dan bermain di taman permainan.
Pengunjung juga didapati mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN).
Pengunjung, Nuralia Kornain, 20, berkata, dia datang ke sini untuk bertemu rakan-rakan sekolahnya yang tinggal di serata tempat di Selangor.
"Kami dah rancang untuk berjumpa rakan-rakan sejak seminggu yang lalu, jadi bila semua cuti sempena Hari Malaysia ini, jadi kami buat keputusan untuk berkumpul di sini,” katanya yang berasal dari Sekinchan.
Seorang lagi pengunjung, Jauharatuddini Ali, 43, pula berkata, dia mengambil peluang pada hari cuti umum ini untuk berkelah bersama keluarganya setelah hampir setahun tidak dapat berbuat demikian.
Begitupun kata Jauharatuddini, dia sentiasa memastikan keadaan sekitarnya selamat dan tidak padat dengan pengunjung sebelum membuat keputusan untuk berkelah di sini.
"Asalnya saya ikut suami mengambil barang di pejabatnya di sini dan kami tidak berniat untuk berkelah di sini.
"Bagaimanapun ketika meninjau keadaan sekitar yang tidak sesak, kami ambil keputusan untuk berkelah di sini,” katanya yang tinggal di Banting.
Sementara itu, di Kuala Selangor, suasana di Pantai Remis Jeram sesak dibanjiri ribuan pengunjung yang mula memenuhi kawasan tepi pantai dan beberapa premis makanan sempena cuti umum Hari Malaysia
Tinjauan Sinar Harian sejak jam 10.30 pagi mendapati, rata-rata penduduk mengambil kesempatan untuk berkelah, mandi-manda di tepi pantai, berkhemah sambil berbeku bersama keluarga selain memenuhi restoran di kawasan berkenaan.
Pengunjung, Rahman Othman, 59, berkata, peluang cuti umum digunakan sepenuhnya untuk berkelah bersama anak-anak.
Katanya, sebelum ini terdapat kekangan apabila tidak dapat berkumpul dan bertemu dengan anak-anak berikutan pelaksanaan PPN fasa pertama.
"Lebih tiga bulan tidak dapat bersua muka termasuklah pada Hari Raya Aidilfitri dan Aidiladha melainkan hanya melalui panggilan video.
"Jadi dengan adanya kelonggaran ini kami dapat berkumpul dan berkelah bersama-sama tetapi tetap mengutamakan SOP bagi mengekang penularan Covid-19,” katanya.