KUALA TERENGGANU – Sebanyak 64 Jalur Gemilang berkibar megah di puncak 11 bukit di tujuh daerah di Terengganu melalui Program Aspirasi Merdeka Terengganu (AMT) sempena sambutan Hari Malaysia pada Khamis.
11 lokasi tersebut adalah Bukit Besar, Bukit Maras, Bukit Tok Salai, Bukit Gemok, Bukit Lubuk Batu dan Bukit Balik Hidung. Selain itu, Bukit Bauk, Bukit Bidong Darat, Bukit Mak Dayang, Bukit Harimau Menangis dan Bukit Tawang.
Semua bukit yang popular dengan aktiviti mendaki itu terletak di daerah Kuala Terengganu, Kuala Nerus, Kemaman, Marang, Hulu Terengganu, Dungun dan Setiu.
Ketua penyelaras program, Kolonel (PA) Che Adam A Rahman berkata, jumlah 64 bendera Malaysia itu dikibarkan secara serentak sebagai simbolik kepada 64 tahun negara mencapai kemerdekaan.
"Program ini diadakan secara kolaborasi dengan pengendali, urusetia dan penyelaras bukit-bukit tersebut. Ia disertai 64 penggiat aktiviti rekreasi dengan setiap bukit diwakili oleh lima hingga enam peserta saja.
"Mereka mula mendaki bukit seawal jam 7.30 pagi sambil membawa bendera Malaysia dan mengibarkan Jalur Gemilang apabila tiba di puncak,” katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.
Beliau turut menyertai program tersebut di Bukit Mak Dayang, Kemaman dan pendakian di sana dilepaskan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chukai, Hanafiah Mat.
Menurut Che Adam, program tersebut berjalan lancar mengikut prosedur operasi standard (SOP) ketat.
Aktiviti pendakian itu kata beliau adalah simbolik bagi menzahirkan penghargaan kepada jasa dan pengorbanan barisan petugas barisan hadapan yang terlibat dalam memerangi pandemik Covid-19.
"Ia juga menunjukkan solidariti sesama rakan dan peminat rekreasi berasaskan patriotisme cintakan negara selain mengutamakan kelestarian alam flora dan fauna serta penjagaan kebersihan di setiap lokasi terlibat,” katanya.