Belilah produk Malaysia, kuasa mengubah di tangan kita

Iklan
Utamakan produk buatan Malaysia ketika membeli-belah.

Kaji selidik yang dijalankan oleh Universiti Teknologi Mara (UiTM) pada tahun 2015 mendapati hanya 40 peratus rakyat Malaysia membeli barangan buatan Malaysia. 60 peratus lagi lebih cenderung memilih barangan berjenama antarabangsa.

Iklan
Iklan

Ini menunjukkan jumlah pembelian barangan tempatan masih rendah meski pun ramai yang tahu tentang Kempen Beli Barangan Malaysia.

Benar, kuasa membeli terletak dalam tangan sendiri - ini realiti kita sebagai seorang pengguna. Sesiapa pun berhak untuk memilih mengikut citarasa, kemahuan dan kemampuan masing-masing.

Iklan

Tiada halangan untuk memiliki dan menggunakan produk berjenama antarabangsa, tetapi jangan menidakkan produk keluaran negara kita.

Kenapa? Apa pentingnya rakyat Malaysia perlu membeli barangan buatan Malaysia?

Iklan

Ekonomi

Membeli barangan buatan Malaysia bantu mengukuhkan ekonomi domestik.

Kempen Beli Barangan Malaysia dijenamakan semula pada tahun 2010 susulan Kempen Beli Barangan Buatan Malaysia yang telah dilancarkan pada tahun 1998.

Ia bertujuan untuk menggalakkan pengguna membeli barangan buatan Malaysia bagi membantu pengusaha tempatan dan mewujudkan pertumbuhan ekonomi domestik.

Kerajaan dari tahun ke tahun sentiasa optimis bahawa KBBM berupaya mengukuhkan semula ekonomi negara khususnya dalam pembangunan industri tempatan.

Rekod Statistik Ekonomi dalam Laporan Tahunan Bank Negara Malaysia 2017 menunjukkan berlaku peningkatan import barangan pengguna, sekali gus menyebabkan produk buatan tempatan tersepit di antara kuasa-kuasa besar ekonomi dunia terutamanya China.

Oleh itu, kempen jualan secara besar-besaran pelbagai produk tempatan dianjurkan setiap tahun agar masyarakat berbelanja melalui tawaran harga berpatutan.

Berdasarkan data yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia, sumbangan daripada Perusahan Kecil dan Sederhana (PKS) kepada keseluruhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) telah meningkat kepada 38.9 peratus pada 2019 berbanding 38.3 peratus yang dicatatkan pada 2018.

Sedar atau tidak, produk tempatan sebenarnya berperanan besar terhadap ekonomi negara dan akan terus menyumbang kepada peningkatan peratusan KDNK dan menyokong pertumbuhan ekonomi.

Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) sebelum ini melaporkan lebih 4,500 buah perniagaan ditutup dalam tempoh empat bulan pertama penularan Covid-19 di negara ini susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan.

Meskipun sektor ekonomi telah dibuka secara berperingkat pada tahun ini, namun menjadi tanggungjawab kepada rakyat Malaysia untuk merangsang semula pemulihan dan daya saing ekonomi khususnya bagi pasca pandemik dengan cara menyokong dan membeli barangan Malaysia.

Setiap RM yang dibelanjakan memberi nafas baru kepada pengusaha tempatan sekali gus mampu melonjakkan kembali ekonomi negara yang suram.

Kualiti

Produk tempatan buatan tangan dari Sarawak unik dan berkualiti

Barangan Malaysia didefinasikan sebagai"produk mestilah dikilangkan di Malaysia dan mengandungi sekurang-kurangnya 51 peratus bahan atau kandungan tempatan dan produk-produk yang dikeluarkan hendaklah melibatkan aktiviti proses pengilangan (manufacturing activity)".

Ramai beranggapan produk tempatan tidak meyakinkan, mudah rosak dan tidak tahan lama, tidak setanding jenama antarabangsa dan tidak membawa imej mewah kepada pengguna.

Dahulu produk Malaysia kurang digemari kerana ia tidak popular dan akhirnya produk buatan tempatan dipandang rendah.

Namun kini, tiada istilah produk kelas kedua kerana produk buatan Malaysia telah terbukti mendapat pengiktirafan di peringkat global.

Menyebut tentang produk, Malaysia ada segala-galanya. Banyak produk keluaran Malaysia dijamin kualiti malah jauh lebih baik berbanding produk berjenama antarabangsa.

Produk kita bukan hanya jaguh kampung kerana jenama automotif, barangan elektrik, kraf tangan, fesyen dan produk kecantikan malah pelbagai jenis makanan kini sudah dikenali seantero dunia.

Nama seperti Bonia, Padini, British India - antara jenama yang digilai penggemar fesyen sejak sekian lama walhal mereka tidak sedar mereka sebenarnya menyanjungi produk buatan Malaysia!

Jadi, siapa kata produk Malaysia tiada standard? KBBM sebenarnya telah berjaya meningkatkan kesedaran masyarakat tentang kualiti barangan dan perkhidmatan yang ditawarkan di Malaysia setaraf dengan piawaian antarabangsa.

KBBM ibarat satu landasan tepat bagi menyemai kecintaan dan semangat patriotisme dalam kalangan rakyat melalui barangan buatan Malaysia.

Jadi, jangan sesekali memperlekeh produk kita selagi belum tahu kualiti dan keberkesanannya!

Jimat

Pembelian di platform E-dagang bukan sahaja jimat tetapi boleh dinilai dari segi komen sesuatu produk.

Harga bukan jaminan atau ukuran sesuatu barangan itu disahkan berkualiti kerana rakyat Malaysia kini lebih bijak membuat pertimbangan dalam urusan pembelian sesuatu produk.

Menerusi platform E-dagang, kualiti sesuatu produk dapat diukur melalui hantaran komen atau ulasan yang dibuat oleh pengguna.

Setiap produk akan dilabelkan sebagai ‘berkualiti atau wajib beli’ menerusi jumlah bintang, jumlah tanda suka, dan komen-komen positif yang diberikan pengguna.

Kenapa perlu melabur dengan harga tinggi hanya untuk mengejar jenama sedangkan produk Malaysia bukan sahaja berkualiti malah jauh lebih murah dan jimat belanja!

Membeli barangan Malaysia secara tidak langsung memberi kuasa kepada pengguna menaik taraf produk yang dihasilkan pengusaha tempatan khususnya golongan Industri Kecil dan Sederhana (IKS).

Kesan akibat pandemik masih terasa apabila banyak industri terjejas, gulung tikar dan pekerja diberhentikan.

Inilah masa dan ketikanya rakyat Malaysia sebagai pengguna sama-sama menyertai KBBM dengan mengutamakan produk tempatan yang bukan sahaja berkualiti, murah tetapi dijamin dari segi status pembuatannya!

Produk yang mempunyai label SIRIM atau tanda pensijilan SIRIM memberi jaminan kepada pengguna bahawa ia disahkan telah mematuhi standard yang telah ditetapkan dan selamat digunakan terutamanya barangan elektrik.

Produk kita, wajah kita - maka berbanggalah dengan barangan buatan Malaysia. Pengguna bijak, faedahnya banyak!