KUALA LUMPUR - Seorang lelaki didenda RM2,500 atau penjara sebulan oleh Mahkamah Sesyen di sini pada Jumaat kerana membuat dan memulakan komunikasi jelik yang menghina Polis Diraja Malaysia (PDRM) melalui Facebook miliknya.
Hakim M. M Edwin Paramjothy menjatuhi hukuman itu ke atas Ahmad Mu'min Othman, 34, selepas dia mengaku bersalah melakukan kesalahan itu melalui Facebook menggunakan nama profil 'Ahmad Mumun' pada jam 11.53 pagi, 9 Mac lepas.
Iklan
Iklan
Hantaran itu kemudian dibaca di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Siber dan Multimedia, Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Wangsa Maju, di sini, pada jam 1.59 petang, 24 Mac 2021.
Pertuduhan mengikut Seksyen 233 (1) (a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 233 (3) akta sama, membawa hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara hingga setahun atau kedua-duanya sekali dan boleh didenda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas sabitan.
Ketika rayuan, peguam Farida Mohammad dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) yang mewakili Ahmad Mu'min memohon denda minimum atas alasan anak guamnya menyesal dan insaf dengan perbuatannya serta berjanji tidak akan mengulangi kesalahan sama.
Timbalan Pendakwa Raya, Najihah Farhana Che Awang memohon hukuman setimpal bagi memberi pengajaran kepada tertuduh dan masyarakat. - Bernama