GERGASI Inggeris, Tottenham Hotspur menyingkap tirai saingan peringkat kumpulan G Liga Konferensi Europa dengan mengutip satu mata apabila melakar keputusan seri 2-2 ketika menentang Rennes di Stade de la Route de Lorient pada Jumaat.
Anak buah Nuno Espirito Santo terlebih dulu di depan hasil jaringan gol sendiri Loic Bade yang terbais hantaran silang Lucas Moura pada minit ke-11 sebelum Flavien Tait menyamakan kedudukan pada minit ke-23 untuk kedudukan 1-1.
Les Rennais kendalian Bruno Génésio itu kemudian kembali di depan hasil jaringan Gaetan Laborde pada minit ke-71, namun jaringan Pierre-Emile Hojbjerg minit ke-76', memastikan kedua-dua pasukan berkongsi mata.
Bagaimanapun keputusan seri itu menyaksikan The Spurs dibayangi kecederaan Moura dan Steven Bergwijn.
Kelab London itu sebelum ini juga dibayangi kecederaan yang menimpa tonggak Korea Selatan, Son Heung-min menjelang perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL) menentang Chelsea pada hujung minggu ini.
Lebih malang Tottenham juga kehilangan beberapa tonggak dari Amerika Selatan yang masih dalam kuarantin selepas tugasan bersama negara masing-masing di pentas kelayakan Piala Dunia sebelum ini.
"Sejujurnya saya berterus terang dan tidak mahu menyembunyikan perkara sebenar bahawa situasi dihadapi Tottenham pada ketika ini sememangnya teruk.
"Bergwijn dan Moura sedang menjalani pemeriksaan lanjut oleh pegawai perubatan kelab. Sememangnya inilah yang mahu kita dihindari," ujar Nuno Espirito Santo.
Sementara itu, pengendali AS Roma, Jose Mourinho memulakan kempen langkah kanan saingan tahap tiga kelab Eropah ini.
dalam pemburuan koleksi treble kejuaraan Eropah, selepas skuad kendaliannya menewaskan kelab Bulgaria, CSKA Sofia, 5-1 di Stadium Olimpico.
Untuk rekod, pengendali Portugal itu pernah menjulang kejuaraan Liga Juara-Juara dan Liga Europa bersama beberapa kelab Eropah sebelum ini.